Tempatan

Agong Sekali Lagi Zahirkan Pandangan Parlimen Perlu Bersidang Secepat Mungkin – Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 29 Jun 2021 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan oleh Kerajaan dan Parlimen Malaysia.

Demikian menurut kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan selepas Yang Dipertua Dewan Negara YB Senator Tan Sri Dr Rais bin Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat YB Datuk Azhar Azizan Harun menghadap Seri Paduka Baginda hari ini.

“Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan,” kata Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara.

Selain itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi-sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

“Perlu diperjelaskan juga di sini bahawa pandangan dan seruan-seruan yang dinyatakan ini merupakan pendirian Seri Paduka Baginda dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undangnya.”

Turut hadir pada sesi yang berlangsung selama satu jam bermula pada jam 11.00 pagi ini ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara YB Senator Dato’ Seri Haji Mohamad Ali bin Haji Mohamad serta kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, YB Dato’ Haji Mohd Rashid bin Hasnon dan YB Dato’ Sri Azalina binti Othman Said.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: