Tempatan

Maal Hijrah: Agong Ajak Rakyat Lakukan Hijrah Hadapi Covid-19

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2021 – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak seluruh rakyat Malaysia melakukan hijrah dalam menghadapi pandemik Covid-19 bersempena sambutan tahun baharu Hijrah 1443H.

“Bersempena dengan tahun baru Hijrah ini, beta ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk turut melakukan hijrah dalam menghadapi pandemik Covid-19.”

Seluruh rakyat juga diseru untuk bekerjasama dalam mematuhi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merupakan strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik ini.

Dalam titah bersempena dengan Maal Hijrah itu, Seri Paduka Baginda yakin, negara pasti berjaya keluar daripada apa juga kemelut yang melanda jika semua terus berpadu tenaga dan mengamalkan sifat-sifat terpuji Nabi Muhammad SAW.

“Pada hemat beta, pemerintahan dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW adalah merupakan contoh terbaik untuk diikuti sekalian manusia.”

Menurut Baginda, dalam aspek pentadbiran dan pembuatan keputusan, Rasulullah sentiasa membuka ruang seluas-luasnya untuk bermesyuarat, berbincang dan mendengar pandangan dalam setiap perkara berkaitan dengan kebajikan dan kemaslahatan ummah.

“Sifat diri Nabi Muhammad SAW turut meliputi sifat tawaduk dan sentiasa mengagungkan kehebatan Allah, menjadikan baginda seorang pemimpin yang tidak terpengaruh dengan sifat tamak yang boleh mengundang gejala rasuah, tipu muslihat dan sifat mementingkan diri sendiri dengan kebesaran dunia seperti pangkat, harta dan kedudukan.”

Titah Seri Paduka Baginda lagi, dalam memahami hijrah dalam konteks negara pada hari ini, Baginda menuntut seluruh umat Islam dan rakyat meneladani sifat-sifat mulia Nabi Muhammad SAW seperti bersifat benar dalam semua perkataan dan perbuatan, bersifat jujur dan dipercayai dan juga bijaksana dalam menyampaikan dakwah.

“Hijrah dan pembinaan negara saling berkait rapat antara satu dengan lain. Sesungguhnya menghayati hijrah bukan sahaja berupaya membentuk akhlak yang mulia, malahan ia turut berupaya dijadikan asas pembentukan sebuah negara.”

Mengakhiri titah, Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat untuk bangkit bersama-sama Baginda mengukuhkan perpaduan, menjaga kesihatan, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bersempena dengan tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini iaitu ‘Manhaj Rabbani Umat Berkualiti’, beta menyeru kepada seluruh rakyat bangkitlah bersama-sama beta untuk mengukuhkan perpaduan, menjaga kesihatan, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi negara dicintai ini,”

Titah Seri Paduka Baginda ini disampaikan ketika Baginda berkenan merasmikan secara maya sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1443H/2021M yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button