Agong & Vaksin SinoPharm: Doktor Terlibat Tampil Nafi Tuduhan
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 19 April 2021 – Dr Hanafiah Harunarashid dari Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HUKM), salah seorang doktor yang didakwa mengendalikan suntikan vaksin SinoPharm yang tidak diluluskan kepada Yang di-Pertuan Agong, keluarga dan rakan Baginda tampil menafikan dakwaan ini menerusi satu Tweet.
“Saya maafkan kepada mereka yang mentohmah dan membuat andaian salah (dalam artikel berkenaan),” kata beliau.
“Tidak ada apa yang hendak saya katakan kerana ia tidak benar. Semoga Allah menerima amalan kita semua.”
Tweet ini menurut laporan portal berita Malaysian Insight merupakan tweet balasan kepada tweet rakannya, Dr Rafidah Abdullah.
Dr Rafidah mengecam Asia Sentinel kerana menuduh Dr Hanafiah dan Dr Zulkarnain Ishmail dari Hospital Gleneagles memberikan suntikan vaksin SinoPharm dari China yang tidak diluluskan oleh negara Malaysia kepada Yang di-Pertuan Agong, ahli keluarga dan rakan rapat Baginda.
Laporan portal Asia Sentinel sebelum itu mendakwa, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah disuntik dengan vaksin SinoPharm selain mendapat 2,000 dos tambahan untuk diberikan keluarga dan rakan Baginda di tanah air.
Vaksin itu didakwa diberikan oleh Putera UAE, Mohamed Mohamed Nayan, rakan sekelas Baginda ketika mereka belajar di United Kingdom.
“Agong memberi vaksin kepada ahli keluarganya dengan bantuan dua doktor (doktor peribadinya Dr Zulkarnain Ishmail, yang bertugas di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur dan Dr Hanafiah Harunarashid, anggota Majlis Perubatan Malaysia). Lebihan dos diberikan kepada rakan perniagaan dan kawan-kawan lain,” dakwa Asia Sentinel.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba juga telah menafikan laporan ini dan menegaskan bahawa pembelian vaksin di negara ini perlu melalui penilaian ketat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) terlebih dahulu.