Tempatan

Perbandaran Kuantan Dinaiktaraf, Agong Berkenan Sempurna Majlis Pemasyhuran

KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Pemasyhuran bandar raya Kuantan pada hari Ahad ini, bertarikh 21 Februari 2021.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, majlis pemasyhuran ini diadakan selepas kerajaan Persekutuan meluluskannya menerusi mesyuarat Kabinet pada 8 Mei 2019 dan pemilihan tarikh 21 Februari dibuat setelah beberapa kali ia ditunda ekoran pelbagai faktor termasuk situasi pandemik Covid-19.

“Majlis pemasyhuran akan dilaksanakan menurut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat demi membendung wabak Covid-19.”

“Oleh sebab itu, jumlah jemputan dihadkan bagi memastikan pelaksanaan aspek penjarakan fizikal,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.”

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah akan turut berangkat dalam majlis ini.

Selain itu, majlis itu juga akan dihadiri oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Kali terakhir majlis pemasyhuran seperti itu diadakan ialah pada 1 September 1979 atau lebih 40 tahun lalu, sempena menaik taraf Kuantan daripada sebuah bandar kepada perbandaran.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button