Kerajaan Perlu Lipatganda Usaha Perangi Covid-19 – Agong
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 13 September 2021 – Kerajaan perlu melipatgandakan usaha dalam memerangi pandemik Covid-19 dengan mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi, titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tambah Seri Paduka Baginda, tindakan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melibatkan semua pihak dalam pendekatan baharu dwi-partisan membentuk lanskap politik baharu adalah suatu perkara positif dalam sebuah pentadbiran negara.
“Beta menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang pada pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam mentadbir urus negara.”
Justeru, Seri Paduka Baginda menasihatkan pada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.
“Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh seluruh rakyat Beta. Ambillah nasihat, pepatah Melayu lama yang berbunyi, Biduk lalu kiambang bertaut. Sesungguhnya yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.”
Titah ini disampaikan sewaktu Seri Paduka Baginda merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ke-4 Majlis Parlimen Ke-14 pada hari ini.