Tempatan

TERKINI: Harga Minyak Masak Turun Kira-Kira RM7

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 02 Ogos 2022 – Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan, harga minyak masak sawit dalam botol lima kilogram (5kg) akan diturunkan kepada RM34.70 susulan daripada harga ketika ini antara RM39 hingga RM42 bermula 8 Ogos.

“Bermakna 8 Ogos, minyak masak dalam botol 5kg yang sekarang dijual dari RM39 hingga RM42 hendaklah dijual pada harga maksimum RM34.70,” ujar Tan Sri Annuar Musa dalam sidang media mingguan di Parlimen semalam.

Harga baharu itu ditetapkan selepas pelaksanaan harga maksimum minyak berkenaan secara bulanan berdasarkan harga bagi satu tan metrik minyak sawit mentah (CPO) yang diumumkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan harga RM4,063 bagi Ogos, lapor media tempatan.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu bahawa kerajaan telah memutuskan mekanisme penetapan harga siling minyak masak botol tidak bersubsidi di Semenanjung dan ia ditentukan secara bulanan mengikut purata harga minyak sawit mentah (CPO) bulan sebelumnya.

“Harga akan ditetapkan secara bulanan berasaskan purata Harga Harian Minyak Sawit Mentah (CPO) diumumkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada setiap satu haribulan. Harga ini akan menjadi penanda aras untuk menentukan harga jualan minyak masak tulen tanpa subsidi.”

Pengerusi berkenaan pada minggu lalu berkata, kerajaan akan mewarta harga minyak masak sawit tulen dalam botol menerusi kaedah penentuan harga siling produk itu, memandangkan pengeluar minyak masak berbotol masih liat untuk menurunkan harga biarpun harga minyak sawit mencatatkan penurunan.

Selaku Menteri Komunikasi dan Multimedia, beliau mengatakan, kadar siling bulanan itu akan ditetapkan melalui kaedah pengiraan ditentukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas rundingan bersama pemain industri minyak sawit tulen, diadakan.

Sebelum ini, Samudera.my melaporkan kenyataan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Ameer Ali Mydin yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Peruncit Bumiputera, harga minyak masak botol 5kg bagi jenama Seri Murni dijual pada harga RM42.70 (kenaikan 44%), Buruh pada RM42.60 (kenaikan 43.5%), Alif pada RM42.50 (kenaikan sebanyak 43%), Vesawit pada RM42.25 (meningkat sebanyak 42.5%) dan Saji pada RM42.20 (meningkat sebanyak 42%).

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: