Tempatan

Pasukan Khas Jihad Sasarkan Harga Minyak Masak Bakal Turun – Annuar Musa

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 20 Julai 2022 – Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi menyasarkan penurunan harga minyak masak sebanyak 10 peratus daripada harga terkini dalam masa dua minggu berikutan penurunan harga minyak sawit.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi pasukan khas itu, Tan Sri Annuar Musa dalam sebuah sidang media di Bangunan Parlimen baru-baru ini, lapor Malaysian Insight.

Menurut beliau, ketika ini, harga minyak masak yang tidak bersubsidi masih berada di paras tertinggi. Justeru itu, beliau berharap pihak industri termasuk pengilang akan bekerjasama dalam menurunkan harga minyak masak pada tempoh dua minggu berkenaan.

“Jadi kita bersetuju untuk sekali lagi kita mohon kerjasama untuk semua pengilang dan dalam masa seminggu dua daripada sekarang, kita ingin melihat harga minyak masak diturunkan kepada satu paras sekurang-kurangnya 10 peratus lebih rendah daripada harga ianya dijual.”

Dalam pada itu, beliau turut menggesa persefahaman yang baik daripada industri perkilangan.

“Sepantas mana mereka menaikkan harga sewaktu harga minyak (sawit) naik dulu, saya harap sepantas itu jugalah mereka kena segera menurunkan harga apabila harga minyak (sawit) telahpun turun,” tegas Annuar.

Tambahnya, pasukan khas itu bersetuju supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan sesi libat urus dengan setiap pengilang terlibat bagi menyampaikan mesej bahawa perkara ini harus disegerakan dan diberi keutamaan.

Ujar beliau, negara juga perlu membuat persediaan menghadapi kesan inflasi tinggi yang melanda negara-negara rakan dagang Malaysia. Satu pasukan pakar-pakar ekonomi akan membantu Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi untuk membentuk rangka kerja bertindak yang lebih komprehensif dan menyeluruh.

“Saya beri masa sebulan kepada mereka untuk menyiapkan rangka pelan tindakan yang menyeluruh dan boleh dibentangkan kepada jawatankuasa agar jawatankuasa ini mempunyai rangka kerja lebih mantap untuk menangani kaedah-kaedah, seterusnya mengambil tindakan terhadap impak inflasi dan kenaikan harga barang dalam negara,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: