Annuar Musa Aktifkan NGO Muafakat Nasional
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 25 November 2022 – Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa memutuskan untuk mengaktifkan kembali Muafakat Nasional, sebuah pertubuhan bawah kerajaan (NGO) yang diasaskannya.
Beliau berkata sedemikian menerusi sebuah hantaran di laman Facebooknya susulan pengumuman Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 semalam.
Ujarnya, Muafakat Nasional akan diaktifkan untuk memupuk nilai muafakat, perpaduan ummah dan keutuhan sistem politik negara yang lebih baik. Bukan itu sahaja, beliau menekankan bahawa NGO itu akan berpaksikan pada Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu juga mengatakan, keputusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 wajar dipatuhi oleh semua rakyat Malaysia.
Tambahnya, “Tumpuan sekarang haruslah kepada Kerajaan yang berwibawa dan mampu membawa kestabilan dan kemakmuran kepada rakyat. Semua perhimpunan dan aktiviti yang boleh membawa kepada ketidakharmonian perlu dihentikan.”
Sebelum ini, samudera.my melaporkan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, menerusi kenyataan media daripada Istana Negara.