Turunkan Harga Runcit Jika Harga Minyak Sawit Turun – Annuar Musa
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 11 Julai 2022 – Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa mengatakan bahawa pengilang mahupun peruncit haruslah memberi kerjasama dalam menurunkan harga runcit minyak masak sekiranya kadar harga minyak sawit kembali turun.
“Adalah tidak adil harga minyak dinaikkan atas alasan harga minyak yang naik tinggi baru-baru ini, tetapi apabila harga minyak turun, harga runcit minyak tidak diturunkan.”
“Kita dapati ada trend turun (harga) minyak sawit pada kadar RM3,800 setong. Sekiranya (harga) minyak sawit turun RM3,750, kita mohon kerjasama dan minta turunkan harga runcitnya,” kata beliau.
Dalam mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diadakan Khamis lalu, beliau mengarahkan agensi-agensi berkaitan yang turut bertindak sebagai pasukan khas agar mengkaji mekanisme menurunkan harga runcit minyak masak di pasaran.
Agensi yang terlibat termasuklah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang diarahkan untuk mengadakan sesi libat urus bersama 22 pengeluar minyak masak susulan daripada penurunan harga minyak sawit dunia.
Dalam pada itu, pasukan khas terbabit turut akan memastikan tindakan tegas dan berterusan diambil terhadap pihak yang menyebabkan ketirisan bekalan minyak masak.
“Kita mempunyai bukti berlaku ketirisan yang berleluasa sebelum ini lagi, termasuk menggunakan minyak subsidi untuk dieksport dan dijual ke luar negara, minyak kegunaan domestik diguna sektor bukan domestik, serta bentuk ketirisan lain,” ulas Annuar.
Sebelum ini, samudera.my melaporkan bahawa Malaysia bakal berhadapan dengan kenaikan harga minyak masak susulan daripada pemansuhan subsidi terhadap bahan mentah berkenaan.