Pendapat

SYARIAH HARUS DIPERKASAKAN JANGAN BIAR IA DIPERKOSA

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Saya merujuk kepada kenyataan YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) pada Memo Kenyataan Media Siri 9/2021 bertajuk “Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil JAKIM Sedia Bersidang Untuk Penambahbaikan Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah” khususnya pada perenggan 4, 5 dan 6.

2. Kita semua sedia maklum bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini telah menimbulkan perbincangan ilmiah di kalangan pelbagai pihak; pihak yang memenangi kes sedang bersorak gembira meraikan “kemenangan” khususnya golongan gay.

3. Kita tidak mempersoalkan keputusan Mahkamah yang telah membuat keputusannya, tetapi beberapa perkara pada kenyataan YB Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dalam memo beliau membuatkan kita berasa bimbang apabila “mengarahkan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil JAKIM untuk bersidang dan berbincang bagi melihat ruang penambahbaikan undang-undang syariah yang boleh dilaksanakan, khususnya yang berkenaan dengan kesalahan jenayah Syariah.

4. Apakah jawatankuasa tersebut akan berunding dengan Negeri-Negeri dan pihak yang berkepentingan dalam usaha untuk “memperkasakan dan menyeragam undang-undang syariah di Malaysia” sebelum mendapat pekenan YDP Agong dan Majlis Raja-Raja kerana isu ini terlalu besar impaknya yang tentu sekali akan melibatkan kedudukan Agama Islam di Persekutuan dan Negeri-Negeri yang kuasa asasnya di bawah YDP Agong dan Majlis Raja-Raja.

5. Peliknya, jika sebelum ini untuk mendapatkan kebenaran supaya masjid dibuka bagi mendirikan solat Jumaat dan solat waktu di Wilayah Persekutuan dan Negeri di bawah kuasa YDP Agong, YB Menteri boleh mendapatkan terlebih dahulu pekenan daripada YDP Agong, kenapa dalam isu yang sebegini besar melibatkan Undang-Undang Syariah Pusat dan Negeri tidak disembah maklumkan kepada YDP Agong terlebih dahulu?

6. Perkara yang sama diajukan untuk pekenan Raja Negeri-Negeri terbabit kerana kuasa Islam adalah di bawah Raja Pemerintah Negeri dan tentulah tindakan yang sebaik-baiknya adalah dengan mendapatkan pekenan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu. YB Menteri seharusnya sudah tahu protokol ini tetapi kelihatan seolah-olah “membelakangi Kuasa YDPA dan Raja-Raja Melayu”.

7. Tindakan ini amat mengecewakan malah dilihat tidak cermat terutamanya keadaan kes yang mempunyai impak besar ke atas penguatkuasaan jenayah syariah Negeri-Negeri berdasarkan Enakmen sedia ada. Sekadar merujuk kepada Penasihat Undang-Undang JAKIM dalam kes impak besar sebegini yang terdapat berkepentingan Islam bukanlah prosedur yang tepat, apatah lagi membelakangi kuasa YDPA dan MRR dalam hal ehwal agama Islam.

8. Pada para 6, kenyataan YB Menteri menyeru rakyat Islam “menghormati penghakiman mahkamah” dalam masa yang sama YB Menteri sendiri dilihat seolah-olah membelakangi kuasa YDPA dan MRR. Tindakan ini akan membuka spekulasi yang buruk ke atas kerajaan Perikatan Nasional sedia ada khususnya Perdana Menteri sendiri yang dilihat seperti “menyetujui tindakan Menteri berkenaan” membelakangi kuasa RRM yang jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan hal ehwal pentadbiran agama Islam.

9. Kami berasa bimbang jangan sampai terlebih sudu daripada kuah dalam kes berkenaan. Sayugianya rujuklah kepada YAB Perdana Menteri selaku Ketua Eksekutif apatah lagi perkara ini perkara besar yang melibatkan Perlembagaan, Jemaah Menteri dan Peguam Negara perlu menyelesaikannya seberapa segera kerana secara tidak langsung melibatkan maruah dan kuasa Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama apabila kedudukan Mahkamah Syariah bagai dicabar?

10. Justeru itu, YB Menteri tidak patut bertindak di luar bidang kuasa dengan melanggar Perlembagaan. Dalam konteks ini, seharusnya Mahkamah Syariah itu yang patut diperkasakan, bukannya Mahkamah Syariah perlu tunduk disesuaikan dengan Mahkamah Sivil. Di mana letaknya kedaulatan Perkara 3 dalam Perlembagaan jika syariah kena akur kepada sivil?

11. Saya sendiri tertanya-tanya bagaimana dengan Perkara 11(3)(a) Perlembagaan: Kebebasan Beragama, yang menyatakan; (3) tiap-tiap kumpulan agama berhak, (a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri. Justeru, macam mana orang Islam hendak mentadbir dan mengurus agamanya sendiri jika Mahkamah Persekutuan asyik masuk campur tangan, boleh YB Menteri tolong jelaskan?

Pandangan peribadi,
Haji Rashidi bin Haris
@Lebai Kampung

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tiada kaitan dengan pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: