Jenayah Hina Islam Tidak Didakwa Di Mahkamah Syariah Kerana Kekurangan Kakitangan
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2021- “Jenayah berkaitan agama apatah lagi melibatkan dalam talian perlu dipandang serius berikutan terdapat kes yang dilihat belum diambil tindakan oleh penguatkuasa agama disebabkan faktor kekurangan tenaga kerja,” kata peguam syarie, Ahmad Jailani Abdul Ghani.
Antara perbuatan jenayah Syariah dalam talian adalah menghina agama Islam, memuat naik dan turun bahan pornografi, menyebarkan fitnah dan berita palsu, mengaibkan dan memalukan orang serta menipu.
Selain itu, penghinaan terhadap agama turut dibuat dengan memuat naik gambar Nabi Muhammad SAW dalam keadaan dipandang hina, mencerca patung-patung agama bukan Islam, menulis komen jelik dengan cara untuk mentertawakan bentuk ibadat dan sebagainya.
Tambah beliau, penyebaran ajaran sesat atau doktrin yang bertentangan dengan akidah Islam juga berlaku dalam talian.
Kerana itulah pihak berkuasa agama perlu bertindak tegas dan mengambil tindakan lebih proaktif bagi membendung jenayah dalam talian berkaitan agama ini.
Difahamkan, masih belum ada negeri di Malaysia yang meluluskan Enakmen Undang-Undang Syariah khusus berkaitan kesalahan secara elektronik.
Sebelum keadaan memburuk, sudah tiba masanya peruntukan berkaitan jenayah alam siber, menggunakan media elektronik ini dimasukkan ke dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Menurut seorang lagi peguam syarie, Ahmad Munawir Abdul Aziz, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah perlu dikaji dan digubal semula agar agama Islam dapat dimartabatkan.
“Satu kajian semula dan rombakan atau pindaan kepada undang-undang sedia ada termasuk akta/enakmen tatacara jenayah Syariah yang memperuntukkan prosedur jenayah dalam kes jenayah atau dalam akta/enakmen keterangan Syariah yang menyediakan undang-undang berkaitan keterangan dalam perundangan Syariah di mahkamah perlu dikaji dalam usaha memartabatkan pentadbiran agama Islam di negara ini.”
Maka, “Dengan bantuan dan kerjasama Pejabat Pendakwa Raya dan Peguam Negara, serta pakar perundangan Islam di negara ini, satu kajian semula perundangan Islam yang berkaitan dengan kesalahan jenayah Syariah dalam talian dapat dicapai.”
Kata Peguambela & Penguamcara Mahkamah Tinggi Malaya ini lagi, badan yang berkuatkuasa bagi menangani jenayah Syariah siber adalah Jabatan Ketua Pendakwa Syarie atau Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri, bukannya mahkamah Syariah.
“Yang berkuatkuasa dalam menangani masalah ini adalah Jabatan Ketua Pendakwa Syarie atau Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing yang bertanggungjawab dan diberi kuasa penuh dalam membawa sesuatu kes untuk didakwa dan diadili oleh mahkamah Syariah sebagai badan pengadilan.”
Kes-kes seperti pengguna Facebook, ‘Ain Zafirah Md Said’, yang menyatakan bahawa jasa Nabi Muhammad S.A.W. “tak ada lah besar mana” dan “setakat jadi kaunselor perpaduan zaman Arab Jahiliah je,” pada tahun 2020 telah didengari di Mahkamah Sivil sedangkan Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 ada peruntukan tentang hal ini.