Tempatan

PEMBELA Gesa Peguam Negara Mulakan Pertuduhan Ke Atas Kes Seks Luar Tabii

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – PEMBELA mahu Peguam Negara membuat tindakan proaktif dengan membuka kertas siasatan dan memulakan pertuduhan di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan terhadap pesalah seks luar tabii sejurus Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membenarkan hukuman bagi seks luar tabii diisytiharkan sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Ada juga yang mencadangkan supaya pesalah ini dituduh di Mahkamah Sivil di bawah Seksyen 377A. Itu adalah di dalam bidang kuasa Peguam Negara untuk memulakan dan juga meneruskan sebarang pendakwaan. Oleh kerana Seksyen 28 ini telah diisytiharkan sebagai tidak sah, tidak berperlembagaan, Peguam Negara seharusnya membuat tindakan proaktif untuk membuka kertas siasatan dan memulakan pertuduhan di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan ini,” ujar Timbalan Pengerusi PEMBELA Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Selain itu, Datuk Zainul Rijal juga menyarankan agar pihak berkuasa agama melihat kembali peruntukan undang-undang yang ada supaya perkara yang berlaku ketika ini tidak lagi terjadi di masa akan datang.

“Saya juga menyarankan kepada pihak berkuasa agama dan sebagainya untuk melihat kembali peruntukan undang-undang yang ada supaya pada masa akan datang ia menjadi lebih tuntas, tidak akan dicabar dan kita tidak akan mengalami perkara yang sama pada masa akan datang.”

Dalam sidang media yang sama, Pengerusi PEMBELA, Hj Aminuddin Yahaya juga menyatakan saranan yang sama.

“Kita meminta Majlis-Majlis Agama Islam Negeri membuat satu kajian terperinci dan semakan terhadap undang-undang Islam hari ini dan membuat perubahan ataupun pindaan bagi memastikan tidak ada lagi interpretasi yang berbeza ataupun yang akan menyahsampingkan ruang lingkup hukuman jenayah di dalam Islam.”

“Mereka kita kira pihak yang paling terkehadapan dan bertanggungjawab untuk melihat perkara ini dan harus mengambil tindakan sesegera mungkin untuk menghalang mana-mana cabaran yang akan dibuat di masa-masa hadapan terhadap hukum Islam,” ujar Hj Aminuddin.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membenarkan hukuman bagi seks luar tabii adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Menurutnya, hanya Parlimen sahaja yang mempunyai bidang kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: