Tempatan

Kenyataan Media: PERKASA Kecewa Dengan Layanan Mahkamah Syariah

Jangan lupa join Telegram, Instagram dan Facebook kami bagi mendapatkan berita terkini

Kenyataan Media
Setiausaha Agung PERKASA

26hb Mac 2021

Apakah Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bertindak ‘double standard’?

PERKASA sangat kecewa dengan tindakan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bersikap pilih bulu dalam melayani permohonan menjadi pemerhati dalam sesuatu kes.

Pada 23hb Februari 2021, PERKASA melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co telah secara bertulis memohon mendaftar dan kemasukan sebagai pemerhati dalam satu kes Mahkamah Rayuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun permohonan tersebut telah ditolak melalui surat bertarikh 25hb Februari 2021 dengan alasan permohonan tersebut tidak dapat dipertimbangkan kerana Mahkamah Syariah hanya mempunyai memorandum persetujuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sahaja sebagai pemerhati di Mahkamah Syariah dan ianya terhad kepada kes-kes membabitkan kanak-kanak, wanita dan orang kelainan upaya (OKU). Dengan itu, permohonan PERKASA ditolak dan keputusan adalah MUKTAMAD.

Pada 25hb Mac 2021 PERKASA sekali lagi membuat permohonan yang sama tetapi melalui kaunter Pendaftar Mahkamah Syariah tersebut berserta dengan afidavit. Bagaimanapun, pegawai di kaunter Pendaftar Mahkamah Syariah itu tidak dapat menerima dokumen yang ingin kami serah daftarkan.

Menurut pegawai berkenaan, kami boleh berjumpa SUHAKAM agar memberi kami kebenaran menggunakan SUHAKAM dalam permohonan menjadi pemerhati untuk kes yang dimaksudkan.

Persoalannya, sama ada Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk membenarkan pemerhati. Ada atau tidak pastinya terpakai kepada semua. Tidak ada MoU di mahkamah.

Undang-undang mana yang memberi kuasa kepada mereka membuat MoU?

PERKASA dan NGO-NGO lain telah lama berjuang untuk menaikkan martabat Mahkamah Syariah, tapi malangnya makin jauh dari apa yang diharapkan.

PERKASA menggesa pihak berwajib dalam hal Mahkamah Syariah mengambil tindakan segera dalam memenuhi kelompongan yang begitu banyak sekali. Sewajarnya Mahkamah Syariah perlu dilihat lebih terbuka untuk mendapatkan keadilan berbanding mahkamah lain.

Kenyataan PERKASA ini adalah berniat baik dan bukan untuk memburukkan, tetapi demi untuk menyamatarafkan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah

Sekian.

Syed Hassan Syed Ali
Setiausaha Agong
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button