Tempatan

3 Agenda Penting PEMBELA Mohon Menteri Agama Ambil Perhatian – Aminuddin Yahaya

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 30 November 2021 – Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengekspresikan kesyukurannya selepas berpeluang menyampaikan tiga cadangan kepada Menteri Agama dalam pertemuan mereka baru-baru ini.

“Alhamdulillah, saya berpeluang untuk mengutarakan cadangan kami dari pihak PEMBELA kepada Menteri Agama.”

Tiga perkara penting yang diutarakan beliau adalah seperti berikut.

“Antara perkara penting yang saya utarakan ialah pertamanya, Tabung Haji perlu diperkasa dan terus dipelihara.”

Menurutnya, kerjasama strategik antara Pejabat Menteri Agama dan NGO-NGO Islam perlu dipertingkat dan diperkasa.

“Sebagai contoh, kita telah menjadi ‘whistleblower’ bagi skandal penjualan tanah milik TH yang berjaya dihentikan setelah kita menghantar laporan dan bukti kepada SPRM dengan kerjasama pejabat Menteri Agama,” jelas beliau.

Di samping itu, isu cadangan perletakan TH di bawah Bank Negara Malaysia dan cadangan menukar status sebagai entiti kewangan setaraf seperti bank semata-mata juga telah dibangkitkan semula kerana sehingga hari ini, orang ramai tidak tahu apakah perkembangan yang terkini.

“Apakah ditangguh, ditarik balik, atau lebih teruk diteruskan senyap-senyap?” soal beliau.

Perkara kedua yang dikemukakan ialah berkenaan pemerkasaan Mahkamah Syariah.

Dalam isu ini, pihak PEMBELA menyatakan bahawa kertas kerja pemerkasaan Mahkamah Syariah itu telah lama siap semenjak daripada zaman pemerintahan kerajaan BN lagi, tetapi tidak dilaksanakan.

Kerana itu, “Kita mohon menteri yang baharu cari semula kertas kerja ini jika ‘hilang’. Kita juga sudi membantu,” kata Haji Aminuddin.

Perkara ketiga yang diutarakan PEMBELA ialah pembentukan Suruhanjaya Kedaulatan Agama Negara yang diselia di bawah pejabat Menteri Agama.

“PEMBELA mencadangkan supaya Suruhanjaya ini ditubuhkan dengan diselia di bawah pejabat Menteri Agama bagi memastikan Islam sebagai Agama Persekutuan dipelihara dari terus dihakis dan dicabar.”

Haji Aminuddin juga turut berharap untuk bertemu lagi dalam sesi yang serupa bagi membincangkan tiga agenda ini secara serius dan strategik.

Dua hari yang lepas, Menteri Agama Senator Ustaz Haji Idris Ahmad telah mengadakan satu sesi pertemuan dengan NGO-NGO Islam dalam sidang Majlis Amal Islami Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button