Tempatan

Perlembagaan Persekutuan Tidak Tolak Al Quran & Sunnah – Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab. Aziz

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – Dalam satu forum wacana khas dalam talian yang baru berlangsung beberapa hari lalu anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM), ketika diajukan persoalan berkenaan tafsir kemoralan dalam Perlembagaan, Datuk Prof Dr Shamrahayu A. Aziz menyimpulkan bahawa moraliti di Malaysia adalah berasaskan Perlembagaan Persekutuan dimana Perlembagaan Persekutuan tidak menolak penerimaan al-Qur’an dan as-Sunnah.

“Moraliti kita ialah moraliti berasaskan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan itu tidak menolak penerimaan al-Qur’an dan as-Sunnah. Tidak menolak!”

Beliau seterusnya menambah, “Tiada ayat dalam Perlembagaan itu yang menolak pemakaian agama dalam menentukan prinsip undang-undang.”

Sebelum itu, beliau telah menyatakan bahawa moraliti hendaklah ditafsir dengan budaya watan.

“Jadi hendaklah kemoralan itu ditafsirkan dengan budaya Malaysia dan juga menerima sistem cara hidup beragama. Itu syaratnya.”

Wacana khas dengan tajuk Persekutuan vs Negeri “Analisa Kesalahan Liwat DUN Selangor Tidak Sah” ini diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari 2021 lepas yang memutuskan bahawa hukuman liwat di bawah Enakmen Syariah adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Dalam memberikan pandangan terhadap persoalan tafsir moraliti dalam Perlembagaan Persekutuan, Penyandang Kursi Raja-Raja Melayu UiTM itu turut menyentuh berkenaan penggubalan undang-undang berkaitan kemoralan yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, “Nak tak nak saja orang dalam Parlimen tu nak buat atau tak buat. Itu saja isu dia.”

“Jadi kalau orang dalam Parlimen itu bersedia untuk membuat sesuatu perundangan yang mengambil kira kemoralan, itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan,” ujar beliau.

Prof Shamrahayu yang juga Pakar Perlembagaan menegaskan buat kesekian kali bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menolak al-Qur’an dan as-Sunnah.

“Sebab Perlembagaan tidak sekali-kali menolak Al-Qur’an dan as-Sunnah.”

Ujarnya lagi, “Perlembagaan tidak sekali-kali menolak perkara berkaitan kemoralan sama ada berasaskan budaya atau berasaskan agama.”

Beliau seterusnya menyambung, “Jadi pada saya, negara kita sebenarnya dikawal oleh peruntukan Perlembagaan yang dalamnya terkandung agama, dalamnya terkandung keadilan, dalamnya terkandung prinsip kemoralan.”

Menyentuh kemoralan sebagai aspek penting dalam hidup bernegara, beliau memberikan satu ulasan yang panjang dan tuntas.

Kata beliau, “Saya fikir kemoralan adalah aspek yang penting. Aspek penting dalam hidup bernegara kerana kalau kita menganggap Perlembagaan itu tanpa moral, maksudnya itu salah.”

“Tiga kali tempat perkataan public morality itu disebut, dan keadilan juga akan termasuk dalam perkataan keadilan itu adalah kemoralan.”

Prof Shamrahayu seterusnya menambah, “Bagi orang beragama itu mudah. Apa yang berdosa itu tidak bermoral. Full stop!”

“Sebab itu ‘akhlaqul karimah’ dalam Islam. Jadi di sini kalau kita berpaksikan kepada Perlembagaan, maka kita tidak boleh menolak fakta bahawa Perlembagaan itu menjaga kemoralan,” ujar beliau sebagai mengakhiri perbualan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: