Pendapat

MISI SYAITAN – MENGGALAKKAN PERPECAHAN, MENGHANCURKAN PERPADUAN UMAT

1.  Segala kekalutan dunia politik tanah air bertambah teruk seperti yang dapat dilihat pada hari ini, bertitik-tolak selepas PRU-14, landskap politik negara berubah dalam sekelip mata dengan menghidangkan gelanggang politik bercelaru dan bersimpang-siur. Keadaannya amat tidak stabil apabila ia boleh berubah kembali secara tiba-tiba hanya dengan perbuatan melompat oleh sebahagian wakil rakyat.

2. Keadaan yang amat jauh berbeza sebelum PRU-14, baik daripada parti mana sekalipun, keadaan politiknya dinamik, kesetiaan terhadap parti sudah tidak lagi menjadi sesuatu yang bermaruah. Tidak seperti sebelumnya apabila yang keluar atau lompat parti akan dianggap sebagai “pengkhianat” dan perbuatannya itu adalah satu kesalahan besar seperti seorang yang murtad dan kewibawaan peribadinya selepas itu akan menjadi persoalan.

3. Tetapi politik hari ini sudah berubah, tidak lagi seperti dahulu. Lompat parti sudah menjadi lumrah. Seorang yang melompat parti dari parti yang diperjuangkannya sebelum ini ke parti musuhnya sudah menjadi perkara biasa. Tanpa segan silu ada juga yang berbangga apabila melakukan pengkhianatan terhadap parti asal yang menaikkan namanya, parti yang suatu ketika pernah menjulang namanya di pentas politik negara.

4. Malahan ada di kalangan pengkhianat itu mendapat tempat atau kedudukan yang tinggi seperti menjawat kedudukan menteri sekalipun sebelum ini ia mempunyai sejarah buruk dalam karier politiknya. Keadaan mendukacitakan ini sedang berlaku pada negara hari ini apabila boleh dikatakan semua parti politik hari ini pasti ada tercalar dengan warna-warna hitam politikus pembelot yang berada di dalam parti. Sebutkan parti mana, semuanya ada bekas pembelot yang menjadi ahli parti baru dan tidak mengejutkan pembelot-pembelot ini juga adalah antara yang disambut sebagai pahlawan oleh parti baru yang disertainya.

5. UMNO merupakan parti terbesar bagi orang Melayu juga tidak terlepas dari gejala jijik ini. Sehingga dalaman parti sendiri berlaku puak-puak yang terbahagi kepada beberapa kumpulan dan masing-masing bersangka-sangka dengan segala yang diputuskan parti. PAS juga tidak terlepas dengan kemelut keji ini dengan sebahagian bersangka-sangka terhadap rakan ahli yang lain, yang boleh khianat pada bila-bila masa. Lebih merumitkan PAS merupakan parti yang sentiasa berhujah dengan dalil sekalipun adakalanya tersasar atau jauh daripada maksud dalil.

6. Hal yang sama berlaku dalam BERSATU, masing-masing berpegang kuat dengan apa yang pada sangkaan mereka itu adalah betul, kononnya itulah prinsip perjuangan mereka sekalipun prinsip pada sangkaan mereka itu mengarah kepada kerosakan dan akhirnya membawa kepada perpecahan dalam ikatan perpaduan dan berlaku perpecahan; yang betul-betul gembira ialah SYAITAN.

7. Sepatutnya setiap kali sebelum masuk ke dewan mesyuarat para pemimpin parti harus meletakkan tekad di dalam hati iaitu walau apapun keputusan yang akan dibuat, ia mesti pada matlamat yang satu iaitu partinya mesti tunduk bawah bumbung ikatan ummah tidak bercerai-berai dan konsep ini ada dalil dalam Al-Qur’an dan Hadith Rasulullah SAW. Apabila masuk ke dalam dewan, duduk dan berbincanglah sesama pemimpin walaupun berhari-hari lamanya atau berbulan-bulan sekalipun namun jawapan dari mesyuarat itu, parti mesti dengan keputusan bersatu bersama Melayu Islam dan bergandingan bersama melawan musuh-musuh Islam dalam keadaan kekal sebagai satu ikatan PERPADUAN UMMAH.

8. BERSATU yang juga asalnya adalah ahli UMNO keluar kerana tidak puas hati dan tidak tahan dengan tindakan pemimpin UMNO yang lalu yang telah pun dihukum dengan kekalahan memalukan dalam sejarah politik UMNO semasa PRU14. Kekalahan dengan hilang kuasa sepatutnya menjadi pengajaran agar peristiwa yang sama tidak berulang; yang menjadi punca utama kepada kekalahan ialah BERPECAH-BELAH.

9. Sekalipun BERSATU antara parti komponen yang terlibat menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional namun ideologi yang dibawanya tetap sama seperti UMNO, iaitu mereka tetap menolak DAP dan menolak PKR pimpinan DS Anwar Ibrahim yang ideologinya jauh berbeza daripada UMNO, PAS, BERSATU bahkan PUTRA, IKATAN dan BERJASA, ini kerana PKR membawa fahaman liberalisme pluralisme sepertimana yang dipelopori sendiri oleh Anwar Ibrahim sejak dahulu lagi.

10. Persoalan; mengapa jika benar setiap pemimpin-pemimpin parti politik Melayu-Islam ini benar-benar ikhlas mahu membela nasib anak nusa bangsa tidak sepakat dalam menyatukan matlamat sedangkan masing-masing memperjuangkan slogan yang sama iaitu demi Agama, Bangsa dan Tanahair atau ABATA dengan menggabungkan semua parti UMNO, PAS, BERSATU, PUTRA, IKATAN dan BERJASA di bawah satu payung besar dinamakan PERPADUAN UMAT MELAYU ISLAM atau ringkasnya JAMAAH ISLAMIYYAH-MALAYUWIYYAH?

Lebai Kampung
@Haji Rashidi bin Haris

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tiada kaitan dengan pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button