Mahkamah Syariah Perlu Fokus Kahwin, Cerai & Pusaka, Bukan Awasi Kehidupan Orang – Siti Kasim
KUALA LUMPUR: Pengasas Malaysian Action for Justice and Unity Foundation (MAJU), Siti Kasim meminta Mahkamah Syariah untuk kembali kepada gerak kerja lama dan bukannya meletakkan polisi tentang bagaimana seseorang itu perlu menjalani kehidupan.
“Saya percaya Mahkamah Syariah perlu kembali semula kepada cara lama dan fokus kepada hal kekeluargaan seperti perkahwinan, harta pusaka dan perceraian daripada mengatur bagaimana seseorang itu patut menjalani kehidupannya.”
Bahkan, bagi Siti Kasim, meminda hukuman yang lebih tegas terhadap mereka yang berpakaian silang adalah mengarut kerana golongan yang berpakaian silang ini tidak membawa apa-apa ancaman kepada sesiapapun.
Menurutnya lagi, selagi seseorang itu bergelar manusia, dia layak mendapat semua hak-hak asasi manusia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Dakwa peguam hak asasi manusia itu lagi, kerajaan sengaja mempolitikkan isu hukuman terhadap golongan lesbian, gay, bisexual dan transeksual (LGBT).
“Saya percaya bahawa situasi ini dipolitikkan. Kita mempunyai isu yang lebih besar untuk dirisaukan.”
Sementara itu Dr Gerard Louis, seorang kaunselor psikologi menyatakan homoseksualiti tidak boleh dianggap sebagai satu bentuk gangguan dan jika kerajaan Malaysia menentang golongan ini, ianya hanya didorong oleh prinsip agama dan bukan berdasarkan sudut pandang psikologi.”
Menurut pakar antara agama antarabangsa, Ustaz Nurul Haq Shahrir, “kesalahan” ini termaktub dalam Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dalam Bahagian Iv – Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesusilaan (Seksyen 20-29).
“Berpakaian silang juga merupakan satu kesalahan di Malaysia. Seksyen 28 menyatakan, ‘Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya’.”
Penyelaras Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek sebelum ini mendakwa bahawa pengiktirafan dan perlindungan untuk golongan LGBT bukan sahaja tidak bertentangan dengan ajaran Islam malah melindungi mereka adalah mandatori di bawah Perlembagaan Persekutuan.