Tempatan

Jika Melayu Mudah Lupa, Biarlah Cina Mualaf Kerdil Ini Mengingatkan – Prof Ridhuan Tee

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 10 November 2021 – “Apakah kita masih buta dalam menilai produk UEC? Punya ramai pemimpin MCA yang boleh berbahasa Melayu, kenapa calonkan produk UEC? Apakah kita sudah lupa bahawa ketika PH memerintah Melaka, UEC telah diiktiraf? Jika Melayu mudah lupa, biarlah Cina mualaf kerdil ini mengingatkan.”

Kenyataan ini disuarakan oleh Profesor Ridhuan Tee Abdullah dalam Facebooknya selepas kejadian video tular menunjukkan calon wanita MCA PRN Melaka tidak boleh berbahasa Melayu dan penggunaan kata ‘lahabau’ oleh mantan Timbalan Menteri Pendidikan baru-baru ini.

Menurut beliau, persamaan kedua-dua individu terbabit adalah, mereka merupakan produk lepasan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Merujuk kepada video penafian oleh calon wanita MCA itu, Profesor Ridhuan Tee berkata, “Kemudian disusuli beberapa video menafikan, “saya boleh cakap Melayu”. Saya pun amati betul-betul beberapa video tersebut. Rupanya memang dia ‘boleh’ berbahasa Melayu. Hebat bacaan dan hafalannya.”

“Saya pun menyelidiki latar belakangnya, rupanya produk Sekolah Persendirian Cina, UEC dan pernah belajar di Taiwan. Hebatkan MCA ketengahkan calon UEC. Masih tidak nampak?”

Tambah pensyarah UniSZA itu lagi, tidak lama selepas kejadian video tular, muncul pula permohonan maaf bekas Timbalan Menteri kerana penggunaan kata-kata ‘lahabau’ ke atas Melaka, “Lahabau Melaka, Jom Undi”.

“Setelah ditegur baharu dia sedar bahawa perkataan lahabau itu membawa maksud tidak baik. Apatah lagi bila lahabau ditujukan kepada negeri Melaka.”

Atas sebab inilah beliau mempersoalkan mengapa calon-calon produk UEC yang diletakkan untuk bertanding menjadi wakil rakyat sedangkan ramai lagi calon yang boleh berbahasa Melayu.

“Alahai Bahasa Melayu, kedudukannya sekadar untuk dihafal dan dibaca bukan untuk difahami dan dihayati,” kata Profesor Ridhuan Tee dengan penuh kecewa.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pulai, Teo Nie Ching memohon maaf kerana menggunakan perkataan ‘lahabau’, sebagai sebahagian bahan kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ahli Parlimen tersebut telah menggunakan bingkai gambar di Facebook yang mempunyai perkataan “Lahabau Melaka, Jom Undi”, namun telah mengubahnya selepas menerima teguran netizen.

Juga, tular di media sosial, calon termuda Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Leong Hui Ying, 29, tidak boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan.

Berdasarkan video yang berdurasi 58 saat tersebut, Hui Ying ditanyakan beberapa soalan dalam Bahasa Melayu oleh pengamal media namun tidak dapat dijawab.

Namun, Leong Hui Ying, menafikan tidak fasih berbahasa Melayu dan menjelaskan bahawa apa yang berlaku ketika sesi temu ramah itu hanya disebabkan salah faham.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: