Vernakular: Sikap Rakus Etnik Cina, Tidak Patut Terus Dikompromi Melayu – Dr Teo Kok Seong
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 10 November 2021 – Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, ihsan etnik Melayu kepada etnik bukan Melayu banyak sekali, tetapi ia langsung tidak mahu dihargai sesetengah pihak.
Namun, nasi sudah menjadi bubur dan sudah terlambat kerana sikap rakus etnik Cina tidak mahu lagi dan tidak patut terus dikompromi etnik Melayu yang mahu penyelesaiannya mengikut saluran perundangan sebagai keadilannya.
Kenyataan ini dikeluarkan susulan permintaan Presiden Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan agar kerajaan mempertimbangkan keperluan untuk meminda peruntukan Perlembagaan bagi memperjelaskan dan menegaskan kedudukan sekolah vernakular.
“Dengan ini, mereka kini mahu isu keabsahahan ini diselesaikan melalui pemindaan Perlembagaan untuk menjadikan sekolah vernakular itu bersifat de jure.”
“Permintaan ini bukan sahaja memperlihat etnik Cina sudah mengaku kalah sesudah tidak yakin lagi terhadap keabsahan sekolah vernakular di sisi perundangan negara. Ia juga memperlihat mereka sudah terdesak sehingga sanggup ‘menjilat ludah sendiri’, iaitu tidak mahu menyelesaikannya di mahkamah lagi setelah berkeyakinan sebelum ini, tetapi secara rundingan di Parlimen pula,” kata Dr Teo.
Tambah beliau, sekolah vernakular pada ketika ini bersifat de facto, belum tentu sah ataupun sebaliknya dari segi undang-undang dan tidak juga bersifat de jure sepenuhnya, yakni betul-betul boleh wujud dan dibenarkan oleh undang-undang.
Mengakhiri kenyataan, Felo Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara itu berkata, permintaan untuk penyelesaian di Parlimen dan tidak di mahkamah boleh dikaitkan dengan filsafat peribahasa, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
“Iaitu sepintar mana sesuatu itu, pasti akan ada ketika ia langkah salah. Ini kerana keputusan mahkamah hanya bersifat sehala, iaitu sama ada menang ataupun sebaliknya sahaja,” kata Dr Teo.