Tempatan

Menang Kerusi Majoriti Melayu, MCA & MIC Jangan Bongkak – Prof Ridhuan Tee

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 22 November 2021 – “Janganlah jadikan tiga kerusi ini menjadikan kamu bongkak untuk menuntut lebih banyak kerusi di kawasan majoriti Melayu,” pesan Profesor Ridhuan Tee Abdullah kepada parti komponen Barisan Nasional iaitu MCA dan MIC.

Menurut beliau, faktor kemenangan kedua-dua parti komponen BN ini adalah disebabkan oleh pengundi Melayu di samping faktor ‘kiasi’ (takut mati) dalam kalangan orang Cina.

Kerana itulah beliau berkata, “MCA dan MIC jangan terlalu bangga dengan kemenangannya kerana undi kemenangannya datang daripada majoriti pengundi Melayu. Berterima kasihlah kepada mereka.”

Tambah beliau, “Beruntunglah kamu, kerana kerusi yang dimenangi dengan jawatan exco yang akan diberikan, yang pastinya tidak mencerminkan kemenangan sebenar berbanding jumlah kerusi yang dimenangi. Tetapi atas semangat perpaduan, tetap diberikan.”

Dalam masa yang sama, pensyarah UniSZA itu turut mengingatkan MCA dan MIC untuk tidak terlalu lantang memperjuangkan UEC.

Prof Ridhuan Tee kemudiannya menyimpulkan beberapa perkara hasil dari keputusan PRN Melaka.

Antaranya adalah menyegerakan PRU-15 dan memantapkan hubungan Muafakat Nasional (MN).

Ini kerana PRN Melaka tidak boleh dijadikan tanda aras kepada negeri-negeri lain kerana budaya politiknya agak sedikit berbeza.

“Elok segerakan PRU-15 kerana kredit masih berpihak kepada BN (MN). Jika PH mahu putuskan persefahaman yang telah dipersetujui, ini masa yang terbaik untuk menyambutnya, dan adakan PRU-15 segera.”

“Jika BN mahu merampas beberapa negeri yang kuasai PH dalam PRU-15 akan datang seperti Selangor (termasuk Pulau Pinang), hidupkan dan mantapkan segera Muafakat Nasional (MN), begitu juga dengan PPBM. Jika jurang perpecahan dapat dielakkan, pastikan negeri-negeri di bawah PH akan dapat dirampas dalam PRU15 nanti.”

“Perkasakan MN segera untuk kemenangan seterusnya dalam PRU-15, mungkin ia agak sukar untuk berlaku di Terengganu dan Kelantan, tetapi di negeri-negeri lain ia mesti dilakukan. Tidak mustahil negeri-negeri bawah PH turut boleh dirampas.”

Beliau kemudiannya menasihatkan semua pihak untuk membuang jauh-jauh sifat bangga, ego, bongkak, sombong dan abang besar, kerana ia pasti merosakkan muafakat dan kerjasama.

“Kemenangan PRN Melaka, tidak mustahil boleh diulangi dalam PRN Sarawak tidak lama lagi. Gabungan BN-GPS-PN mampu meraih kemenangan besar jika disegerakan dengan mematuhi SOP COVID-19 ketika pilihan raya.”

Dan tambah beliau lagi, “Jangan berikan kerusi majoriti besar Melayu kepada parti-parti seperti MCA, MIC dan Gerakan, kerana ia pasti akan merugikan. Biar mereka berentap di kawasan yang sepatutnya.”

Pada 20 Nov lalu, Barisan Nasional telah diisytiharkan memenangi PRN Melaka dengan 21 kerusi termasuk MCA(2) kerusi, manakala MIC (1) kerusi.

Leave a Reply

Back to top button