Bahasa Teks Sahih Perlembagaan: PM Silih Berganti, Namun Tiada Yang Ambil Serius – Pengerusi PEMBELA
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 22 November 2021 – “Sudah berapa banyak Perdana Menteri (PM) silih berganti tetapi tidak ada satu pun yang cakna mahu mengambil isu ini secara serius sedangkan kita tahu Perlembagaan adalah Supreme Document yang paling tinggi dalam negara kita,” jelas Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Hj Aminuddin Yahaya.
“Jadi, mana-mana yang bercanggah dengan Perlembagaan ini secara sendirinya akan tertolak. Tetapi, sayangnya, teks sahih Perlembagaan negara kita masih dalam Bahasa Inggeris.”
Menurutnya, apa yang pasti setakat ini, masih ramai yang tidak tahu bahawa Perlembagaan kita yang diiktiraf ini atau yang digunapakai ini menggunakan teks sahih dalam Bahasa Inggeris.
“Malah lebih malang lagi, bukan rakyat biasa saja hatta golongan VVIP (Very Very Important Person) termasuk juga MP (Members of Parliament) pun tidak tahu dan tidak pernah ambil tahu berkenaan dengan bahasa yang digunakan,” ujarnya.
“Jadi, tidak terkejutlah sebab perkara ini tidak pernah diketengahkan oleh sesiapa pun.”
Tambah Aminuddin, berdasarkan pengetahuannya, teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan sudah pun dibuat dalam Bahasa Melayu, namun, tiada sesiapa membawanya ke Parlimen.
“Tidak ada mana-mana pihak membawanya ke Parlimen dan menjadikannya satu agenda untuk diiktiraf oleh Parlimen sekaligus dijadikan atau digazetkan sebagai teks sahih Perlembagaan yang harus digunapakai.”
“Seperti yang saya katakan tadi, tidak ada dalam kalangan pemimpin yang melihat isu ini sebagai penting dan perkara ini kita anggap sebagai sangat pelik dan luar biasa.”
Tambah Aminuddin, kesan penggunaan teks sahih Perlembagaan dalam Bahasa Inggeris dapat dilihat dalam kes Indira Gandhi.
“Kita lihat natijahnya, misalnya yang berlaku dalam kes Indira Gandhi bila interpretasi salah contohnya parent dengan parents, cuma takrif satu huruf ‘S’ sahaja, bukan satu perkataan yang menjadi isu yang akhirnya menyebabkan kekeliruan sehingga disalah tafsirkan, maklumlah dalam Bahasa Inggeris.”
“Sehingga apa-apa keputusan mahkamah boleh terjejas hanya kerana tafsiran bahasa dan pemahaman yang berbeza daripada sudut Perlembagaan yang akhirnya menyebabkan sesuatu kes itu akan menjadi haru-biru, peguam akan pening kepala, keputusan hakim menjadi salah,” ujarnya.
Aminuddin kemudiannya meluahkan kekecewaannya mengapa sehingga sekarang, tiada tindakan dilakukan untuk menjadikan teks sahih Perlembagaan dalam Bahasa Kebangsaan.
“Walhal, perkara ini mudah sahaja kerana sudah termaktub dalam Perlembagaan. Apa yang penting, dibawa ke Peguam Negara dan disahkan, kemudian dibawa ke dalam Parlimen untuk disokong dan dipersetujui, seterusnya disahkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) maka, selesailah masalah yang sudah puluhan tahun ini.”
“Tetapi saya sangat pelik serta hairan dan juga kecewa kenapa sehingga sekarang belum juga dilaksanakan kerana ianya sudah lama dibuat, padahal untuk melaksanakannya tidak susah mana pun.”
Jelas Aminuddin lagi, apabila Parlimen meluluskannya, hanya perlu menunggu Yang di-Pertuan Agong untuk menandatanginya.
“Saya tidak nampak pun Agong akan halang perkara ini kerana isu ini adalah yang paling mustahak dan tidak mungkin Agong tidak luluskan. Ini sebenarnya adalah masalah kepimpinan kita,” kata beliau mengakhiri kenyataan.