Tempatan

Melayu Tidak Boleh Diharapkan Lagi Pertahankan Tanah Melayu? – Ridhuan Tee

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Jika tanah rizab Melayu pun tergadai, apa lagi nak diharapkan kepada Melayu?

Siapa yang meluluskan semua nama-nama pelik kalau bukan orang Melayu sendiri, kerana Melayulah yang berkuasa dan menerajui semua agensi kerajaan.

Kadang-kala kita jadi pelik, kenapa negara yang berasal-usulkan Melayu, tidak ada identiti dan jati diri yang kelihatan. Agenda hidup bernegara langsung tidak didaulatkan. Ambil satu aspek sahaja kedudukan bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

Sedangkan bermula daripada pemimpin tertinggi negara bermula daripada monarki, Perdana Menteri dan Kabinet, Ketua GLC, Ketua Setiausaha Negara, KSU setiap Kementerian, Ketua Universiti Awam, DBP, PBT (Dewan Bandaraya, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah) dan banyak lagi, boleh dikatakan semua terdiri daripada orang Melayu.

Teramat malang lagi, boleh dikatakan semua pejabat GLC, mesyuaratnya menggunakan Bahasa Inggeris, bermula daripada papan tanda, sehingga semua arahan dan tanda-tanda dalam bangunan dan pejabat.

Tabung Haji (TH) itu sendiri sudah mula proses penginggerisan dan pembaratan tersebut. Nasib baik masih ada lagi logo “ta” dan “ha”. Suatu hari nanti, tidak mustahil ditukar kerana nampak kuno jika bertuliskan Jawi.

Jangan bandingkan dengan KL, lihat semua ibu negeri seperti Ipoh, Johor Bahru, Shah Alam, Melaka, Alor Setar, Kuantan, Seremban, Pulau Pinang, Petaling Jaya dan lain-lain. Ada identitikah? Atau lebih London daripada London. Lebih Shanghai daripada Shanghai.

Begitu juga dengan nama-nama taman-taman, nama kedai dan papan tanda, adakah ia mencerminkan jati diri, atas nama Keluarga Malaysia?

Ada papan tanda, nama kedai, iklan dan lain-lain, langsung tidak ada dalam Bahasa Melayu. Cuba pergi sekitar bandar Kajang dan Pulau Pinang.

Ada yang sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina? PBT makan gaji buta, semuanya tidur?

Puncanya tidak lain, bertali-temali dengan rasuah.

Saya tidak mahu bandingkan dengan Sabah dan Sarawak kerana sejarahnya agak sedikit berbeza. Tetapi negeri-negeri Semenanjung, yang bernama Negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, bagaimana?

Kenapa nama Bangsar Selatan menjadi Bangsar South. Tulisan Bangsar South jauh lebih besar daripada Bangsar Selatan. Terlalu banyak contoh lain. Ini tidak termasuk berhala-berhala yang semakin tinggi sepanjang jalan raya.

Cuba teliti nama-nama yang begitu jelas kelihatan seperti:-

Trinity Wellness, Ampang. Bagaimana nama “Trinity” boleh diluluskan menjadi nama bangunan komersial? Apakah kita mahu tunggu tanda salib seperti yang berlaku di Pulau Pinang, baharu nak bantah?

Bagaimana pula dengan nama-nama KL East, KL City Centre, Razak Exchange, TRX Signature Tower (TRX Exchange 106), Jazz City, Vision City, Hi-Tech Park dan terlalu banyak lagi nama-nama menjadikan bandaraya seperti London.

Terbaharu, bangunan Merdeka 118 dibangunkan PNB. Bangunan tertinggi di Asia Tenggara. Kedua tertinggi dunia, selepas Burj Khalifa, Dubai. Apakah selepas ini bangunan ini tidak dapat menjana keuntungan disebabkan namanya “merdeka”? Sekarang ini pun sudah dikenali sebagai Merdeka 118 Tower. Apakah perkataan menara tidak boleh menggantikan tower? Kasihan sungguh bahasa negara ini.

Ini belum termasuk nama-nama hotel-hotel antarabangsa. Jika nama itu tidak dapat diubah, sekurang-kurangnya dijawikan, seperti mana yang berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Ini tidak, sebiji nama asing.

Adakah dengan meletakkan nama-nama dalam Bahasa Inggeris ini akan menjadikan kita pandai berbahasa Inggeris atau maju.

Naif dan cetek sangat kita beranggapan meletakkan tanda-tanda Barat itu menjadikan kita pandai berbahasa Inggeris, sehingga tenggelam semua jatidiri, asal-usul bangsa dan negara.

Kenapa nama-nama Bahasa Melayu langsung tidak didaulatkan? Jika kita semua benar-benar sayangkan negara ini, kenapa tidak cadangkan nama-nama yang mempunyai jati diri?

Nampak sangat kedudukan Bahasa Melayu atau Jawi sangat hina di mata ultra kiasu. Sebab itu mereka menentang apa jua identiti termasuk Jawi.

Salah siapa? Kenapa sebuah negara asal-usulnya bernama Tanah Melayu, berakhir dengan hilang identiti dan jati diri Melayu?

Apakah yang mereka lakukan selama ini? Adakah dengan melihat sahaja?

Sehinggakan di negeri Terengganu pun sudah mula dengan nama-nama Inggeris seperti Terengganu Trade Centre (TTC). Saya pernah tegur PBT di sana kenapa nama dan papan tanda dan tanda arah jalan berbentuk sedemikian rupa. Sudah hilangkah Jawinya? Masih belum mendapat jawapan.

Ini belum bercakap tentang bangunan UMNO dan PWTC (Putra World Trade Centre). UMNO itu sendiri adalah akronim daripada Bahasa Inggeris, United Malaysia National Organization. Hina sangatkah jika dinamakan PERKEMBAR (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu)? Tidak glamour kan PERKEMBAR?

Sebenarnya bukan orang/bangsa lain yang merosakkan agenda kebangsaan (negara). Pemimpin Melayu itu sendiri. Orang atau bangsa lain hanya mengambil kesempatan.

Sebab itu, mereka (ultra kiasu) akan tentang habis-habisan jika identiti negara jika dilaksanakan? Termasuk pengajaran Jawi tiga muka surat.

Terbaharu, isu papan tanda jawi dan BM, tanpa meletakkan karakter Cina. Perkara kecil sahaja, soal karakter Bahasa Cina tidak diletakkan dalam papan, sedangkan Sekolah Cina beroperasi seratus peratus kecinaan.

Justeru, kita menyokong sepenuhnya teguran Perdana Menteri ketika merasmikan Malam Kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), baru-baru ini, mahukan pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan yang tidak mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu dalam program mereka. Bahasa Inggeris lebih digunakan termasuk dalam mesyuarat melibatkan agensi terlibat dan GLC. Malah, penggunaan nama syarikat, projek perumahan dan jenama produk kini juga menjadi lumrah dengan tidak menggunakan Bahasa Melayu.

Apakah mungkin syarikat Cina, akan menyambut saranan Perdana Menteri? Apakah mesyuarat dan projek-projek mereka akan menggunakan Bahasa Melayu.

Mungkin ada kelihatan satu dua nama Melayu seperti Berjaya. Sekadar nama, isinya bagaimana?

Kita rasa bangga apabila nama PETRONAS (Petrolium Nasional Berhad) berjaya meniti bibir persada dunia. Malangya, apabila masuk ke dalam PETRONAS semuanya dalam Bahasa Inggeris. Rupanya hanya pada nama, bukan isinya. Ada apa dengan nama? Jati diri dan identiti orang PETRONAS bagaimana pula?

Insaflah wahai Melayu. Kamu nak buang ke mana DNA Melayu itu dengan hidup berpura-pura menjadi orang lain?

Pulau Pinang sudah lebih dikenali sebagai Penang. Orang Melayu sendiri pun sudah biasa dengan Penang. Begitulah kisah yang sama apabila Singapura menjadi Singapore. Bangsa saya sudah lama tidak menyebut Melaka tetapi Malakak.

Bandingkan dengan negara jiran kita seperti Thailand dan Indonesia, adakah negara ini tidak akan maju dengan identitinya? Adakah Malaysia lebih maju daripada Thailand dan Indonesia. Negara-negara ini sudah mula meninggalkan kita. Kita masih perasan kita yang lebih maju.

Tidak ada erti bangunan kedua tertinggi di dunia, jika orang di bawahnya yang ramai merempat yang hilang jati diri adalah Melayu. Dalam keadaan merdeka lebih 64 tahun, kita yang masih teraba-raba mencari identiti dan jati diri.

Mohd Ridhuan Tee Abdullah

PAUTAN ASAL: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=451419266354698&id=100044598859584&ref=bookmarks

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: