Hartanah Global Melonjak Mahal Di Musim Covid-19
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
Nilai hartanah global telah mengalami peningkatan sebanyak 7.1% di musim wabak Covid-19 selama 12 bulan sehingga Mei 2021, menurut laporan indeks harga rumah global The Economist.
Di Amerika Syarikat, secara purata harga rumah telah mengalami peningkatan setinggi 17%, kenaikan paling tinggi yang direkodkan sejak tahun 1975.
Harga rumah di New Zealand telah meningkat sehingga 26%, di Kanada 11.2% dan di Britain pula setinggi 7.4%.
Kadar kenaikan harga luar biasa ini menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan pembuat dasar kerana tidak selari dengan peningkatan asas ekonomi lain seperti kadar kos pinjaman dan harga sewaan.
Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika, Jerome Powell menyifatkan kenaikan harga hartanah ini sebagai “melampau”.
Kerajaan New Zealand pula terpaksa mengambil langkah mengarahkan bank pusat negara itu mempertimbangkan kesan terhadap harga pasaran rumah di sana bagi setiap keputusan yang diambil berkenaan polisi kewangan mereka.
Bank Pusat Eropah juga akan mula memasukkan kiraan kos perumahan yang didiami dalam laporan inflasi berkala bank itu.
Lumrahnya, kenaikan harga semasa hartanah sepatutnya berkadaran dengan perkembangan ekonomi. Namun mengapa hartanah global mengalami kenaikan harga yang mendadak secara tiba-tiba sedangkan ekonomi dunia sedang berhadapan dengan krisis Covid-19?
Perintah berkurung di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 menyebabkan ratusan juta orang terpaksa menghabiskan masa mereka di rumah masing-masing.
Rumah mereka bukan sahaja berfungsi sebagai tempat tinggal, juga terpaksa mengambil alih fungsi pejabat, sekolah, tempat riadah dan bersukaria, dan restoran sepanjang tempoh berkurung.
Perintah berkurung ini menyebabkan mereka yang masih mempunyai pekerjaan dapat menjimatkan sejumlah besar wang mereka kerana peluang untuk membelanjakan gaji telah dikurangkan.
Dengan lebih wang simpanan dalam tangan — juga dengan sokongan stimulus fiskal kerajaan serta kadar faedah pinjaman yang sudah diturunkan, semakin ramai lebih berani dan sanggup untuk mendapatkan rumah yang lebih besar dan selesa.
Di Amerika Syarikat, 14 peratus permohonan pinjaman perumahan bagi bulan Februari 2021 adalah untuk membeli rumah yang kedua, jumlahnya meningkat dua kali ganda berbanding permohonan pada bulan April tahun 2020.
Secara purata, setiap rumah yang dijual hanya memerlukan 47 hari sahaja dalam pasaran sebelum mendapat pembeli yang sesuai di Amerika Syarikat berbanding pada tahun sebelum itu yang memerlukan 59 hari.
Kesimpulannya, harga rumah global kini meningkat disebabkan oleh peningkatan trend pembelian oleh mereka yang berkemampuan, walaupun ekonomi dunia sedang mengalami ancaman wabak Covid-19.