Mufti Pahang Saran Perkuatkan Ekonomi Umat Islam
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 04 April 2022 – Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Bin Haji Osman menyaran agar semua umat Islam tidak lupa untuk memperkuatkan ekonomi umat Islam sendiri.
Beliau mengatakan sedemikian dalam sebuah Konvensyen Perundangan: Mengarusperdanakan Syariah anjuran Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau turut berpesan agar kita semua sentiasa mengutamakan premis-premis dan barangan keluaran umat Islam, serta menjaga kebajikan umat Islam dengan berzakat dan berwaqaf.
Pesanannya itu merupakan inti pati khutbah Jumaat di Negeri Pahang yang diolah supaya menjadi satu wadah penyampaian kesedaran kepada umat Islam di negeri tersebut.
Selain itu, inti pati khutbah Jumaat negeri berkenaan turut mengingatkan agar perpaduan umat Islam diperkukuhkan demi mengekalkan pemerintahan negeri dan negara kita ditadbir oleh pemimpin Islam yang bertaqwa, termasuklah di bawah pemerintahan raja berperlembagaan. Perkara ini penting agar agama Islam dan nasib umatnya sentiasa terbela dan dihormati.
“Ini adalah antara pendedahan kepada umat Islam setiap minggu. Umat Islam di Pahang akan mendengar khutbah dan mereka diberikan mandat ini setiap minggu,” jelas beliau.
Mufti Pahang itu turut berpendapat bahawa umat Islam perlu diberi kefahaman mengenai perundangan dan Syariah.
Beliau mencadangkan agar pertemuan diadakan dengan pihak Majlis Agama Islam Negeri-Negeri atau Jabatan Mufti bagi mendedahkan perkara ini kepada penceramah bertauliah sekaligus dapat disampaikan kepada orang ramai.