Pendapat

LAKSANAKAN MORATORIUM POLITIK DAN SERAHKAN KEMBALI URUSAN NEGARA KEPADA SERI PADUKA BAGINDA – Dr Amran Muhammad

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Nama rasmi bagi Kerajaan Malaysia ialah Kerajaan Seri Paduka Baginda dan oleh kerana itulah KDYMM YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyebut Kerajaan Malaysia sebagai “Kerajaan Beta”. Bagi sekalian rakyat Malaysia pula mereka akan mendapati semua urusan surat menyurat dengan pihak Kerajaan Malaysia akan tertera perkataan “Urusan Seri Paduka Baginda” pada sampul surat yang digunakan.

Penggunaan istilah-istilah ini sebenarnya bukanlah sekadar simbolik semata-mata tetapi ia menunjukkan kepada pada hakikatnya negara Malaysia yang amalan Demokrasi Berparlimen mestilah tertakluk kepada Raja Berperlembagaan dalam pengertiannya yang tersurat dan tersirat.

Dalam mendepani krisis politik tanah air ketika ini yang semakin meruncing dilatari pula oleh krisis pandemik dan ekonomi yang mengancam survival rakyat Malaysia, kita mesti kembali memahami semula faham negara Malaysia dan cuba keluar dari kemelut ciptaan kita sendiri khususnya hasil tindak-tanduk tidak matang pemimpin-pemimpin politik selama ini.

Bila disebut Raja Berperlembagaan usahlah lagi dimomokkan dengan mitos perjanjian antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun yang kononnya jika kuasa dikembalikan kepada Raja maka muncullah semula nanti amalan Raja atau Monarki Mutlak! Apa yang sedang kita saksikan sekarang bukan kemungkinan Monarki Mutlak tetapi kemunculan “wannabe raja-raja mutlak” yang sedang bermaharajalela di kalangan para pemimpin politik Malaysia.

Pilihan bagi rakyat Malaysia ketika ini bukanlah lagi antara Monarki dan Demokrasi tetapi antara Monarki dengan Anarki. Dengan kini hilangnya semangat dan amalan utama Demokrasi iaitu perbincangan dan keterbukaan dalam sistem politik tanah air, maka apa yang tinggal ialah Monarki yang sebenarnya lebih jelas menuruti prinsip-prinsip Demokrasi moden iaitu Pengasingan Kuasa, Mesyuarat dan Semak Imbang yang telah memberikan sedikit cahaya kepada rakyat Malaysia.

Begitu parahnya tingkah laku para pemimpin politik kita sehinggakan mereka misalnya diberikan amaran oleh Sultan Johor agar tidak menjadikan Dewan Undangan Negeri Johor sebagai sangkar beruk sepertimana yang kita saksikan berlaku di Dewan Rakyat Parlimen Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam suasana politik yang tidak matang dan menjurus kepada Anarki politik sekarang wajarlah sekiranya para pemimpin politik Malaysia mengundur diri buat seketika dari medan politik dan bermuhasabah tentang musibah yang sedang melanda negara. Sangat wajar kita laksanakan Moratorium Politik meskipun kita mengetahui ketagihan kuasa dan kecanduan jawatan sangat sukar untuk dipisahkan dari para pemimpin politik.

Bagaimanapun ia adalah langkah terbaik demi memastikan tumpuan boleh diberikan sepenuhnya kepada usaha-usaha pemulihan krisis pandemik dan ekonomi tanpa gangguan para pemimpin politik. Oleh kerana Kerajaan Malaysia pada hakikatnya adalah Kerajaan Seri Paduka Baginda maka serahkanlah kembali urusan negara kepada KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong.

Perlaksanaan Moratorium Politik peringkat Persekutuan dan Negeri akan memberikan peluang kepada seluruh agensi dan apparatus Kerajaan Seri Paduka Baginda tidak diganggu oleh kerenah para pemimpin politik yang selama ini dibebankan dengan kehendak dan kepentingan para pemimpin politik dan kroni-kroni politik. Paling tidak negara hanya akan disibukkan dengan dua kemelut utama yang melibatkan survival rakyat jelata iaitu pandemik dan ekonomi. Dan buat sementara dengan terlaksananya Moratorium Politik sewajarnya tiada lagi kemelut politik 24/7 yang menyusahkan kehidupan rakyat untuk dihadapi.

Sebagai Ketua Negara KDYMM SPB YDPA memiliki prerogatif dalam menentukan bagaimana pentabiran pemulihan pandemik dan ekonomi boleh dilaksanakan dengan perkhidmatan segenap agensi dan apparatus Kerajaan Baginda. Tanpa para pemimpin politik, negara Malaysia masih memiliki sejumlah besar para penjawat awam dan kakitangan Kerajaan Baginda yang boleh melaksanakan amanah pemulihan negara.

Dr Amran Muhammad merupakan Pengerusi merangkap CEO  Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI), Kuala Lumpur

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: