PRU-15

Dulu Musuh Ketat, Sekarang Abang Adik? – Teraju Baiduri NAJM Puan Azlinda Baroni

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 22 November 2022- “Jika perkara ini berlaku, iaitu Pakatan Harapan (PH) yang diungguli Democratic Action Party (DAP) dengan 40 Ahli Parlimen bakal bergabung membentuk Kerajaan dengan Barisan Nasional (BN) yang diungguli UMNO, dua parti dengan falsafah perjuangan yang bertentangan maka ia merupakan satu kejutan besar kepada orang Melayu yang berprinsip kepada perjuangan Agama Bangsa dan Tanahair.”

“Malah, saya boleh katakan satu tikaman dari hunusan keris berbisa kepada orang Melayu,” ujar Teraju Baiduri NAJM Puan Azlinda Baroni.

Menurutnya lagi, dua parti itu berbeza matlamat, prinsip kenegaraan, pegangan kepercayaan terhadap perkara sosial dan kemasyarakatan yang satu liberal dan yang satu moderate berpandukan kepercayaan beragama, malah yang satu pihak lagi asyik menentang apa saja yang berkaitan asa-asas Perlembagaan negara kita.

“Jika inilah pengakhirannya, apa guna PRU ini diadakan? Bincang sajalah antara ketua-ketua mereka yang dikatakan lebih besar dan berkuasa daripada Kerajaan. Presiden boleh tentukan apa saja. Kenapa perlu kepada PRU?” soalnya.

Jelas beliau, sebab rakyat memilih adalah berpandukan falsafah dan hala tuju parti politik itu. Sekarang apa sudah jadi? Rakyat ditipu hidup-hidup. Dulu musuh ketat, sekarang abang adik!?

Puan Azlinda berkata, inilah masalah utamanya, kedua-dua belah pihak sudah melaung-laungkan kontras perjuangan masing-masing kepada penyokong dan pengundi masing-masing tetapi, bila sudah kecundang, semua laungan dan pendekatan yang sudah diambil dinyahkan begitu saja.

“Kita semua sudah dewasa, malangnya permainan politik semasa tidak dewasa dan tidak matang lagi. Ikut kepala ketua parti masing-masing untuk buat keputusan,” ujarnya.

Tambah beliau, penerimaan akar umbi? Pastinya akan menentang keputusan presiden mereka. Sejauh mana kuatnya penentangan itu, kita kena tunggu dan lihat. Apakah akar umbi berani suarakan tentangan mereka? Apakah akar umbi akan menyatu dan berpadu semangat menolak gabungan kerajaan baharu PH-BN?

Apakah akar umbi masih ingat pentadbiran kerajaan PH 22 bulan? Terpulang.

Tambah beliau, minyak dan air tidak boleh menyatu. Asas kukuh bersendikan kesefahaman falsafah perjuangan dan hala tuju menerajui pentadbiran Kerajaan Pusat mesti selari, mesti kena sepakat tidak boleh bercanggah.

Jikalah, ada sepakat dan sefahaman dalam hal menjana ekonomi negara di tahun mendatang ini yang dikatakan akan melanda seluruh dunia, jangkaan zaman meleset paling teruk dan sebagainya, tetapi bagaimana pula halnya dengan perkara-perkara besar lain?

“Kita lihat perkembangan semasa di Eropah Barat dan Eropah Timur, di Amerika Syarikat, perubahan iklim penguasaan negara-negara kumpulan ekonomi unipolar diketuai oleh Amerika Syarikat, dengan negara-negara multipolar yang diketuai oleh Rusia – apakah pula nanti dasar luar negara kita dengan adanya kerajaan campuran PH- BN ini?”

Apakah dasar kesihatan negara pula? Apakah dasar pelajaran kebangsaan akan berubah lagi? Apakah dasar pembasmian kemiskinan akan lebih dinamik? Apakah prinsip-prinsip Rukunegara akan dipraktikkan sepenuhnya dengan jujur, amanah dan ikhlas oleh ahli-ahli Kabinet dan menteri perdananya dan timbalannya? Itu baru perkara asas.

Pandangan saya, dengan kemungkinan Kerajaan campuran PH-BN ini akan menimbulkan lebih banyak pergolakan dalaman di antara ahli kedua komponen itu. Selain itu, rakyat keseluruhannya tidak akan berpuas hati dan akibatnya, defisit kepercayaan terhadap Kerajaan akan bertambah berlipat kali ganda lagi.

Justeru, sebaiknya, Kerajaan gabungan di antara PN-BN-GPS-GRS adalah lebih tepat lebih selari falsafa perjuangan mereka dan akan mengangkat pemimpin dan rakyat kalangan Bumiputera Sarawak dan Sabah kita seiring dengan semua kegiatan ekonomi, infrastruktur, pendidikan dan sebagainya yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan kelak.

“Marilah kita semua bersatu dalam persefahaman yang jitu, tulus ikhlas demi menjaga keselamatan negara dan warganegara secara holistik.”

“Rakyat jelata sudah mual sudah bosan dibodoh-bodohkan,” tegasnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: