Kit Siang Perincikan 3 Perkara Elak Malaysia Jadi Teokrasi
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PETALING JAYA, 08 Januari 2023 – Veteran DAP Lim Kit Siang memperincikan tiga perkara bagi mengelak Malaysia menjadi sebuah negara teokrasi, satu sistem Kerajaan yang menggunakan hukum-hukum agama sebagai dasar pemerintahan negara.
Menerusi kenyataan medianya, Lim Kit Siang berkata, bukti tidak ada “gelombang hijau” untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara teokrasi adalah selepas Perikatan Nasional (PN) tidak berjaya merampas Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri Sembilan.
BACA JUGA: Denda RM10,000 Kekang Lumba Haram, Mat Rempit
BACA JUGA: Media UK Lapor Putera Harry ‘Berjaya’ Bunuh 25 Orang Warga Afghanistan
BACA JUGA: KKM Lancar Label Braille, Bantu Pesakit OKU Penglihatan Kenal Ubat
Selain itu, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk Kerajaan Perpaduan pula berjaya menang lebih dari tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.
“Tetapi, tiga perkara ini adalah matlamat yang terlalu rendah, sebaliknya, kita perlu menetapkan sasaran yang lebih tinggi.”
Justeru, Lim Kit Siang berkata enam pilihan raya Negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi akan mempunyai kepentingan khas, iaitu sebagai satu pilihan raya umum mini, yang menjadi pembuka kepada Pilihan Raya Umum Ke-16.
PRN tersebut juga sekali gus akan menjadi ujian sama ada Kerajaan Perpaduan akan mempunyai kestabilan politik untuk bertahan selama lima tahun untuk menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk yang hebat dan bertaraf dunia.
Lim Kit Siang sebelum ini juga ada mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kontroversi berkenaan ‘gelombang hijau’.
Menurutnya, Kerajaan harus melaksanakan dasar-dasar reformasi dan program pembinaan semula negara bagi mencegah Malaysia tenggelam dalam “gelombang hijau” PAS untuk memastikan Malaysia tidak menjadi negara Islam sepenuhnya dalam dua kali lagi pilihan raya, yang dianggarkannya pada 2032, sepuluh tahun dari sekarang.
Kenyataan kontroversi tersebut mendapat perhatian dari Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang mewakili lebih daripada 50 NGO dan Gabungan NGO Islam.
Pengerusinya, Tuan Mahmud Hishamuddin Bin Abdul Rashid berkata kenyataan tersebut adalah bersifat provokasi dan biadab terhadap umat Islam, tuntutan agama umat Islam dan untuk mempertahankan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.