Tempatan

Banyak Tahfiz Bakal Tutup Operasi, RM 15 Juta Untuk Sekolah Persendirian Cina

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 01 Oktober 2021 – 30 peratus daripada 160 Maahad Tahfiz swasta di Pahang bakal ditutup kerana tidak mampu menampung kos operasi akibat Covid 19. Demikian menurut kenyataan Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran (PINTA) Pahang, Muhammad Abdul Salam Abdul Ghani.

Tambah beliau lagi, jumlah itu dijangka bertambah sekiranya penularan wabak itu berlarutan bagi tempoh yang agak lama.

“Maahad tahfiz sudah tidak mampu bertahan memandangkan institusi pengajian agama terbabit tidak mempunyai dana yang tetap dan hanya bergantung kepada sumbangan dan yuran pelajar,” katanya.

Ini bukan kali pertama pihak yang terlibat di dalam pengurusan Pendidikan Maahad Tahfiz menyuarakan kebimbangan seperti ini.

Pada 30 Ogos 2021, Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran), Manolito Mohd Dahlan berkata, dalam kajian yang dijalankan pihaknya ke atas 512 maahad tahfiz, 11.7 peratus maahad dalam kajian tersebut terpaksa memberhentikan sepenuhnya kakitangan mereka sementara 52 peratus maahad lagi hanya mampu membayar separuh gaji pekerja.

“34.4 peratus maahad pula hanya mampu bertahan tidak lebih tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi 38.1 peratus maahad tidak menerima bantuan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) manakala 85.4 peratus maahad menerima yuran separuh atau kurang berikutan kemampuan kewangan ibubapa yang turut sama terjejas semasa ujian Covid 19 ini.

Manolito mahu perkara ini mendapat perhatian serius kerajaan dan mahu maahad tahfiz sedia ada diselamatkan dan dibantu oleh pihak kerajaan.

“Maahad tahfiz adalah menjadi salah satu benteng utama umat Islam untuk memahami al-Quran serta melahirkan pemimpin berjiwa Quranic.

“Oleh itu, ia perlu diselamatkan agar tiada pemberhentian kakitangan, tiada pemotongan gaji kakitangan serta penutupan operasi maahad,” katanya.

Dalam satu perkembangan lain, portal Malaysiakini hari ini melaporkan bahawa Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi 63 buah sekolah persendirian Cina di seluruh negara.

Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, Timbalan Menteri Pendidikan, Mah Hang Soon telah mengesahkan peruntukan berkenaan.

Peruntukan itu tiba pada masa yang sesuai kerana keadaan kewangan sekolah-sekolah persendirian tidak stabil akibat pandemik, menurut Presiden Dong Zong.

Berita ini melegakan pelbagai pihak yang gusar tentang kebajikan pendidikan swasta Cina yang terjejas semasa pandemik ini. Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kebajikan sekolah persendirian cina swasta tidak dilupakan dalam situasi ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: