60 Maahad Tahfiz Di Seluruh Negara Telah Ditutup Terus – PU Hafiz
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
SHAH ALAM, 07 Oktober 2021 – Hampir 60 buah Sekolah Maahad Tahfiz di seluruh Malaysia yang dikenal pasti telah ditutup terus selamanya kerana tidak mampu lagi menampung kos untuk beroperasi,” kata PU Hafiz.
Di Selangor pula, terdapat 10 maahad tahfiz yang perlu ditutup sementara dalam musim pandemik ini kerana sudah tidak mampu lagi menampung kesemua kos pengurusan, bil-bil air dan elektrik termasuk gaji para guru dan sebagainya.
“Para pelajar terpaksa direhatkan, termasuk juga ada yang berpindah, terpulanglah kepada ibu bapa. Ada juga pelajar yang dipindahkan dan dipinjamkan ke maahad tahfiz yang boleh membantu mengambil tasmi’ sekurang-kurangnya,” kata Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (PITAS) Negeri Selangor ini.
Ujar PU Hafiz, “Jadi sekarang kita melaksanakan PdPR, tapi alhamdulilah apabila sudah memasuki Fasa 3 ini dan sudah mula dibuka semua sektor ekonomi nanti, Insya Allah kesemua maahad-maahad tahfiz ini akan kembali pulih.”
“Bagaimanapun, hutang ibu bapa ini perlu diberi masa secukupnya kerana sememangnya mereka tidak mampu untuk jelaskan.”
Jelasnya lagi, PITAS sudah memohon dari kerajaan yang lepas melalui Menteri Agama mengenai gaji guru. Dan dua minggu lepas, PITAS juga memohon sebanyak RM25 juta untuk diberikan kepada semua guru tahfiz dan setiap tahfiz sebanyak RM10,000 secara one-off.
“Dua minggu lepas dalam pertemuan saya bersama majlis-majlis belia dengan Timbalan Menteri Kewangan 1, saya menyebut tentang perkara yang sama tentang bajet akan datang supaya bantuan ini diperluaskan dan jangan hanya baik pulih sahaja sebab kita ini dalam isu kritikal.”
“Kritikal tentang bayaran gaji kakitangan, bayaran bil air dan elektrik. Cuba kita bayangkan sekolah tahfiz ini terpaksa ditutup sebab tidak dapat bayar sewa,” kata PU Hafiz.
Tambahnya lagi, ada juga keadaan di mana maahad tahfiz terpaksa keluar dari tempat tersebut.
“Dan itu memang sedang berlaku dan dikhuatirkan akan berlarutan sehingga terpaksa menutup kesemua institusi tahfiz di negara ini jika kerajaan tidak bertindak memberikan bantuan sekarang.”
Menyentuh lanjut mengenai usaha PITAS, PU Hafiz berkata, perbincangan dengan pihak institusi agama Selangor menunjukkan perkembangan yang positif.
“Di Selangor, kita cuba berbincang dengan Zakat. Alhamdulilah Zakat Selangor nampak sensitif terhadap isu ini dan saya ucapkan terima kasih kepada Lembaga Zakat Selangor, kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang prihatin khususnya di Selangor ini dan di negeri-negeri lain pun saya nampak.”
“Kerajaan bukan tidak bagi, tetapi ianya tidak dapat diluaskan bantuan baik pulih itu kepada isu-isu yang lebih kritikal sekarang iaitulah yang melibatkan pengurusan tahfiz sekarang dan juga melibatkan elaun kepada guru-guru yang hampir kesemuanya amat terkesan dengan pandemik Covid-19 ini,” katanya.