Tempatan

Semakin Banyak Maahad Tahfiz Bakal Ditutup – Ustaz Alauddin Ishak

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

GOMBAK, 08 Oktober 2021 – “Tahun 2020 banyak maahad tahfiz terkesan akibat pandemik Covid-19 dan walaupun tidak habis lagi tahun 2021 semakin banyak lagi bakal ditutup jika tidak dibantu secara serius oleh pihak kerajaan,” ujar Ustaz Alauddin Ishak, pengasas Maahad Tahfiz Al Quran Qasimul Ulum (MATAQU).

Katanya, lebih 80 peratus majoriti maahad tahfiz sekarang ini amat terkesan dengan pandemik ini.

“Banyak maahad tahfiz ini berada di dalam Selangor dan sudah ada lebih 400 maahad tahfiz. Jika dihitung secara keseluruhannya, sudah lebih 1000 buah berada di negeri-negeri lain dan kesemuanya sangat terkesan dan memerlukan bantuan segera dari pihak kerajaan.”

Menceritakan pengalaman sendiri, Ustaz Alauddin berkata, salah satu punca pertambahan perbelanjaan maahad tahfiz adalah kerana beliau terpaksa menyewa empat lot kedai bagi memenuhi dan mematuhi syarat-syarat penjarakan SOP.

Maahad tahfiz ini mula diasaskan pada tahun 2001 dan sehingga tahun 2021, inilah kali pertama terkena kesan yang agak besar, ujarnya.

“Kalau secara umum tidak mengambil kira musim pandemik ketika sebelum PKP ini, kewangan kami Alhamdulillah, tidak ada isu-isu yang besar seperti sekarang.”

“Sudah 20 tahun kami menguruskan maahad tahfiz ini dengan kos pembangunan lebih kurang RM2 juta untuk membuat kompleks maahad tahfiz.”

“Malah, sebelum pandemik kami ada pelajar sekitar 240 pelajar dan dapat menampung kapisiti melebihi 300 pelajar,” kata Pengerusi MATAQU ini.

Jelas beliau, walaupun pelajar semakin ramai, namun semua kos perbelanjaan masih boleh ditampung sendiri sebelum ini kerana kos penjimatan beroperasi di dalam bangunan sendiri dan tidak menyewa.

Kewangan juga bertambah kukuh seiring dengan pertambahan pelajar sehingga lebihan kos dapat disimpan untuk digunakan sebagai dana kecemasan dan sebagainya.
Bagaimanapun, apabila negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kewangan pengurusan maahad tahfiz itu pada peringkat awalnya terpaksa ditanggung sendiri oleh beliau dan isteri.

“Sehingga kini, kami juga sudah mula menghadapi masalah kerana kekurangan dana perbelanjaan disebabkan ramai ibu bapa yang terjejas ekonomi dan mereka tidak dapat membayar yuran.”

Namun, tidak dinafikan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri ada juga membantu maahad tahfiz sekarang ini.

“Tetapi kita berharap kerajaan memudahcarakan urusan-urusan berkaitan pentadbiran dengan maahad tahfiz,” kata Ustaz Alauddin lagi.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button