Tempatan

Kerajaan Perpaduan Perlu Tegas Tolak UEC, Haramkan Dong Zong – Profesor Madya Dr Amini Amir

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 01 Disember 2022 – “Kerajaan sekarang “has to say ‘NO’ to UEC” dengan tegas dan sekali gus mengharamkan Dong Zong. Kami semua NGO akan sokong sepenuhnya sebarang ketegasan Kerajaan mengenai inisiatif ini tanpa berdolak dalih,” ujar Pengerusi Kluster Pendidikan PEMBELA, Profesor Madya Dr. Amini Amir.

Beliau berpandangan demikian agar perkara ini segera berakhir, yakni anak-anak kita dapat belajar dan berkongsi akses kepada kemudahan pendidikan yang sama dan satu sekolah untuk semua.

Menurut Naib Presiden Perkasa Malaysia itu, dengan keadaan sekolah-sekolah kebangsaan di seluruh negara yang uzur amat tidak wajar dana pendidikan disalurkan kepada institusi yang dengan jelas bertentangan dengan dasar pendidikan negara.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi QIAM turut percaya, Kerajaan Perpaduan yang baharu tidak akan melayani sebarang tuntutan institusi yang juga dengan jelas tidak mematuhi Akta Pendidikan 1996.

Bahkan, Kerajaan patut mengharamkan institusi yang menyanggah aspirasi nasional dan falsafah pendidikan kebangsaan serta Perlembagaan Persekutuan, tegasnya.

Agak janggal apabila Dong Zong dilihat opportunis dengan meminta Kerajaan yang baru dibentuk meluluskan UEC ketika jemaah Kabinet sendiri belum pun dilantik.

Maka, timbul persoalan, perlukah Kerajaan melayan kumpulan ini yang pernah dilabel ekstremis?

Dr Amini Amir yang juga Bendahari Agung, Majlis Dakwah Negara (MDN) turut menegaskan sekali lagi bahawa kumpulan ini perlu diharamkan kerana menimbulkan keresahan dan kegusaran awam.

“Bahkan, perjuangan mereka berkiblatkan Taiwan. Kenapa tidak gunakan buku teks yang ditulis oleh sarjana Malaysia?” soalnya.

Sebelum ini, Profesor Teo Kok Seong pernah memberi pandangan, menyentuh isu UEC yang sudah lama menghantui kita, bahawa sesama kita terdapat krisis kepercayaan kerana anak-anak kita sedari awal, di Tabika lagi contohnya sudah dipisahkan dengan dasar pendidikan perkauman.

Jelas Dr Amini Amir, perkara yang dibangkitkan ini amat wajar dan perlu disokong oleh semua pihak, anak-anak kita sepatutnya dididik dalam acuan dan kerangka aspirasi nasional, falsafah pendidikan kebangsaan serta Perlembagaan Persekutuan dan perkara inilah yang sepatutnya ditekankan dan dikuatkuasakan bukan dikesampingkan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: