Pelampau Hindu Sembelih Imam Dalam Masjid
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SIWAN, 22 Jun 2022 – Pelampau Hindu di India terus mencetuskan jenayah perkauman mereka apabila seorang imam masjid di bandar Siwan maut disembelih ketika tidur.
Imam tersebut, Muhammad Safi maut dibunuh ketika waktu subuh pada hari Jumaat, 10 Jun lalu apabila beberapa pelampau Hindu menyerang dan menyembelihnya dengan pisau sewaktu beliau sedang tidur di Masjid Khalispur, bandar Siwan.
Imam tersebut ditemui mati berlumuran darah ketika orang ramai datang ke masjid untuk kerja pembersihan.
Berikutan kejadian itu, laman sosial Twitter dibanjiri hashtag #JusticeForSiwanMaulvi, #HindusTerrorism dan #India di mana mereka menuntut satu penyiasatan adil terhadap pembunuhan imam tersebut yang sehingga kini pelakunya masih belum ditangkap.
Bukan itu sahaja, gambar imam yang terbunuh itu turut tersebar dan memenuhi media sosial di India serta negara-negara Islam sekaligus mencetuskan kemarahan orang ramai.
“Sudah tiba masanya umat Islam di seluruh dunia bertindak menentang mereka yang menghina umat Islam, pengganas Hindutva membunuh imam tua di Siwan dengan sokongan penuh daripada pemimpin BJP. #JusticeForSiwanMaulvi,” tulis Ahmed Alsomairi di ruangan tweetnya.
“Berapa lama umat Islam harus berdiam diri semasa dibunuh di India? Umat Islam harus mempertahankan diri mereka di India. Mereka harus mewujudkan pasukan polis dan tentera mereka sendiri kerana polis India gagal melindungi mereka,” tulis seorang pempengaruh media sosial dengan nama _Twitter_nya @s_alharbi2020.
“Imam dari Masjid Khalispur Siwan Bihar telah dibunuh oleh pengganas Hindu dengan mengelar lehernya. Pengganas itu harus ditangkap secepat mungkin! #JusticeForSiwanMaulvi,” tulis satu lagi tweet dari seorang pengguna bernama @shaf_sid.
Lapor Al-Estiklal Newspaper, parti yang dikelola oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi iaitu Parti Bharatiya Janata (BJP) telah mencetuskan kekecohan di seluruh dunia serta mendapat kecaman di negara Islam serta negara lain.
Awal bulan lalu, pasaraya di Timur Tengah iaitu Arab Saudi, Kuwait dan Bahrain bertindak mengeluarkan produk dari India sebagai tanda boikot kerana penghinaan ke atas Nabi Muhammad S.A.W. yang dilakukan oleh pemimpin BJP, Nupur Sharma.
Lapor samudera.my, Ketua Menteri bagi beberapa buah negeri di India yang berada di bawah pemerintahan parti BJP itu berlumba-lumba untuk mengganggu umat Islam di negara tersebut.