Antarabangsa

Keganasan Terhadap Muslim Di India Mesti Disiasat Segera

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

INDIA, 15 Ogos 2022 – Pihak berkuasa di India diseru untuk menyiasat keganasan yang berlaku dalam kalangan umat Islam di negara berkenaan kerana ia merupakan kesalahan jenayah kemanusiaan terhadap golongan minoriti, kata Stephen Rapp, Felo Kanan di Pusat Pencegahan Genosid di Muzium Memorial Holocaust Amerika Syarikat (AS).

Malah kata beliau, sekiranya Kerajaan India enggan berbuat sedemikian, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau sebaik-baiknya Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) haruslah bertindak bagi mengakhiri isu-isu berkenaan yang kian meruncing.

Hal ini kerana, diskriminasi anti Islam semakin ketara sewaktu pemerintahan Kerajaan Bharatiya Janata Party (BJP) yang mengakibatkan 200 juta umat Islam di negara itu terdedah kepada ancaman, serangan, keganasan seksual serta menjadi sasaran pembunuhan.

Bukan itu sahaja, di negeri Uttarakhand, para pemimpin Hindu yang bersekutu dengan parti pemerintah BJP itu turut menuntut ‘gerakan kebersihan’ terhadap umat Islam.

Presiden Kebangsaan Akhil Bharat Hindu Mahasabha, Sadhvi Annapurna bahkan menyeru agar umat Islam di India dimusnahkan sepenuhnya dengan berkata “Jika anda ingin menghapuskan penduduk mereka maka bersedialah untuk membunuh mereka. Jika hanya seratus daripada kita menjadi tentera dan setiap orang membunuh 20 lakhs (2 juta) kita akan menang”.

Manakala, seorang lagi pemimpin turut menyeru orang Hindu secara terbuka di khalayak ramai dan di media sosial untuk merogol dan membiarkan hamil wanita-wanita Islam.

Setakat ini Stephen bersama rakan sekerjanya, Sonja Biserko dan Marzuki Darusman telah mengumpulkan laporan komprehensif setebal 494 halaman yang mengandungi dakwaan keganasan terhadap umat Islam India sejak 2019 berdasarkan dokumentasi dari media terkemuka, institusi akademik, kumpulan masyarakat sivil serta organisasi PBB.

Oleh itu, menurut Stephen, bukti yang telah diperolehi boleh dijadikan asas untuk digunakan oleh pihak Mahkamah Jenayah Antarabangsa bagi membuat pemeriksaan awal sebelum memulakan penyiasatan rasmi disebabkan India telah terikat dengan perjanjian hak asasi manusia antarabangsa iaitu Perjanjian Universal Hak Sivil dan Politik.

Tambah beliau, biarpun hak asasi manusia bukanlah satu isu dalaman bagi India, namun ia menjadi kebimbangan buat semua orang sehinggakan pihak Suruhanjaya Siasatan Rasmi Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) boleh menyiasat semua dakwaan.

Justeru katanya, sudah tiba masanya untuk masyarakat antarabangsa bertindak melakukan perubahan serta tidak mengamalkan sikap berdiam diri dan siasatan bebas perlu dilancarkan kerana sekiranya tiada tindakan diambil, keganasan akan terus meningkat.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: