NGO

Naratif Ekonomi Madani, Baik untuk Masa Depan Tapi Tak Jelas Agenda Ekonomi Melayu

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

MTEM menyambut baik pelancaran 7 sasaran yang menjadi naratif ekonomi kerajaan. Setelah meneliti, sekiranya kerajaan komited dan bersungguh dan menggunakan pendekatan yang melibatkan keseluruhan jentera agensi kerajaan, Malaysia pasti berubah sebelum 2030 sekali gus dapat menyelesaikan masalah-masalah yang membelenggu potensi rakyat dan negara. Semestinya kerajaan mesti diberi ruang dan masa untuk memperhalusi tindakan-tindakan susulan dan perlaksanaan program yang diperlukan.

Hala tuju yang meletakkan fokus pembangunan ekonomi pada 8 langkah teras yang memberi penekanan pada agenda serantau, merancakkan pertumbuhan syarikat tempatan dan PMKS, agenda pendigitalan, teknologi hijau dan keterjaminan makanan memberi indikator yang jelas pada semua pemegang taruh ekonomi wawasan kerajaan ini.

Sambil kita memastikan negara terus ingin menjuarai sektor gas dan minyak, perusahaan sawit dan penghasilan cip eletrik, pelancaran NIMP (Pelan Induk Perindustrian Baru) dan NETR (Dasar Tenaga Negara dan Pelan Hala Tuju Peralihan Negara) memberi gambaran bagaimana sasaran ekonomi madani ini akan dicapai melalui inisiatif berskala besar yang melibatkan semua pihak yang akan menggalakkan pelaburan dan aktiviti ekonomi yang sewajarnya.

MTEM juga menyokong hasrat kerajaan untuk memastikan PMKS tidak ketinggalan dalam agenda membina semula negara melalui pelbagai inisiatif yang kita pasti akan ditambah nilai selari dengan kerangka ekonomi madani yang baru.

Referendum Orang Melayu Pada Pilihan Raya Negeri

Namun berdasarkan hasil PRN, jelas naratif ini belum cukup meyakinkan pengundi Melayu. Suka atau tidak, beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dan akan menggagalkan usaha murni kerajaan sekiranya diabaikan.

1. Reformasi Pada Agenda Kemakmuran Bumiputera

Kerajaan perlu lebih berani untuk melakukan dan dilihat melakukan sokongan atau penambahbaikan terhadap pembangunan ekosistem Melayu Bumiputera dengan segera.

Setiap Perdana Menteri semenjak Yang Amat Berhormat Tun Razak melaksanakan DEB, tidak apologetik dalam melaksanakan program atau memberi kelebihan strategik untuk memperkasakan Bumiputera. Kita pernah dengar, program “carve out” dalam projek kerajaan di zaman Dato’ Seri Najib. Malah DNB di zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin juga diberi syarat untuk menyokong syarikat Bumiputera.

Hari ini, perkara ini tidak jelas khususnya dalam kerangka Ekonomi MADANI.

Mungkin dalam tindakan susulan perlaksanaan Ekonomi MADANI ia akan diterjemahkan tapi akibat polemik politik berpanjangan kita dapati agensi kerajaan, GLC dan kementerian tidak pantas membuat keputusan dan lazimnya proses perolehan makin perlahan.

Ia memberi kesan langsung pada usahawan dan kontraktor yang terjejas secara tidak lansung memberi gambaran agenda Bumiputra bukan keutamaan. Agensi- agensi yang dahulunya bertanggungjawab memperkasakan Bumiputera dari segi sosial mahupun ekonomi dilihat seperti dipinggirkan dan tidak diberi perhatian oleh kerajaan. Walaupun ada kenyataan yang memberi komitmen untuk gejala Ali dan penghapusan rundingan terus akan dihapuskan.

Merujuk pada penghapusan rundingan terus dalam perolehan kerajaan, ia dilihat sebagai satu langkah positif dalam mengurangkan ketirisan.

Namun tiada langkah-langkah yang diumumkan untuk memberi jaminan kepada usahawan-usahawan Bumiputera yang projek-projek kerajaan tidak akan didominasi oleh konglomerat-konglomerat dan syarikat-syarikat tersenarai yang secara majoriti terdiri daripada syarikat bukan Bumiputera.

Apa yang diinginkan adalah naratif Ekonomi MADANI juga melaksanakan reformasi dalam agenda pemerkasaan Bumiputera, dengan tatakelola yang lebih baik, dengan penyampaian lebih pantas dan berkesan. Kita ingin melihat lebih ramai syarikat berpotensi Bumiputera yang tulen diberi keutamaan yang sewajarnya khususnya dalam sektor-sektor yang berteknologi termasuk dalam kerangka Ekonomi MADANI. Kita tidak boleh mengamalkan dasar yang sedia ada, seadanya. Pemikiran yang sama tidak akan menghasilkan hasil yang berbeza.

Jika tidak persepsi bahawa kerajaan tidak bersungguh dalam membangunkan komuniti ekonomi Bumiputera sebagaimana yang dibenarkan oleh Perlembagaan, akan terus meningkat kerana ia tidak dirasai oleh orang Melayu atau tidak dilihat sedang dirancang untuk orang-orang Melayu dan Bumiputera.

Apakah mungkin ada pihak dalam kerajaan yang sengaja menyukarkan agenda reformasi kemakmuran Bumiputera dengan melengah atau mengendahkan harapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atau mereka juga masih keliru dengan di mana agenda Bumiputera ini dalam kerangka MADANI?

2.  Realiti Sasaran Bahagian Pendapatan Pekerja Bernisbahkan KDNK

Sasaran untuk meningkatkan bahagian pendapatan pekerja daripada 32% kepada 45% adalah dialu-alukan kerana pada dasarnya nisbah ini bertujuan untuk meningkatkan pendapatan gaji pekerja.

Namun pada hemat kami sasaran ini secara bersendirian tidak memadai dan bakal gagal mencapai matlamat sebenar Yang Amat Berhormat untuk meningkat martabat hidup rakyat JIKA ia tidak perhalusi. Sasaran Pendapatan Isi Rumah Berasaskan Gaji Bermaruah (Living Wage) mesti dijelaskan sebagai sebahagian daripada strategi dan dasar ini.

Kejayaan sebenar akan memberi kesan langsung pada ekonomi domestik sekaligus meningkat perbelanjaan dalam negara yang menguntungkan PMKS dan bukan sebaliknya. Jika tidak, ekonomi tidak mungkin bertumbuh secara optimal dan mampan. Laporan KDNK akan cantik di atas kertas tetapi rakyat dibawah terus tertekan kerana tidak merasai laba pertumbuhan ekonomi yang bergantung pada industri yang “labour intensive” yang tidak menjamin pertumbuhan gaji tapi hanya meramai pekerja gaji terendah.

Oleh itu wajar untuk kerajaan dan komuniti perniagaan memahami bahawa sasaran ini perlu diperhalusi dengan sasaran-sasaran jelas yang diperhalusi seperti jadual sasaran kenaikan gaji penengah mengikut sektor industri; dan jadual sasaran bilangan isi rumah yang menerima pendapatan dibawah garis pendapatan kehidupan wajar (Living Wage) supaya semua pihak dapat merancang untuk menyokong agenda kerajaan dengan masa yang cukup serta PMKS mendapat sokongan yang wajar daripada kerajaan untuk melaksanakannya.

Yang nyata, Cadangan Model Upah Progresif dan Pembentangan Laporan Gaji setiap suku tahun adalah 2 indikator kesungguhan kerajaan yang mesti dipuji dan selari dengan harapan MTEM untuk memperkasakan rakyat.

3.  Masalah Sasaran Defisit Fiskal 3%

Kami bimbang sasaran ini bakal menjurus kepada dasar ikat perut (austerity) dan tidak merangsang ekonomi (pro-cyclical). Daripada segi keperluan membantu rakyat melalui perbelanjaan sosial (social protection) juga masih banyak perlu dilakukan. Malaysia kini antara negara yang berbelanja paling rendah dalam perbelanjaan sosial iaitu di tahap hanya 3.8% dari KDNK (2017) berbandingkan dengan Vietnam (6.3%), South Korea (10.1%) dan Jepun (23.1%).

Di samping itu, untuk melaksanakan kedua-dua tumpuan Ekonomi MADANI, untuk menaikkan siling dan lantai rumah, pasti memerlukan perbelanjaan yang besar daripada kerajaan. Kerajaan akan mengikat tangan sendiri dengan meletakkan ini sebagai antara sasaran utama Ekonomi MADANI.

4.  Kurang Agenda Penyusunan Semula Masyarakat

Tiada sasaran jelas untuk mengurangkan kesenjangan dan jurang kekayaan antara pelbagai kumpulan dan antara daerah seperti yang digariskan dalam WKB2030. Jika dibiarkan pada penyokong pasaran bebas yang bersifat laissez faire dan neo-liberal, yang kaya akan bertambah kaya dan yang miskin kurang. Ini tidak selari hasrat Malaysia MADANI yang ingin memastikan orang Melayu tidak ketinggalan dalam arus perdana.

5. Kejayaan Bergantung Pada Intepretasi Dan Implentasi Semua Pemegang Taruh

Kunci kejayaan untuk mencapai 7 sasaran melalui 8 fokus akan bergantung kepada kaedah-kaedah program-program baru atau rekalibrasi dasar-dasar lama dan yang baru selain kepantasan dan kecekapan pelaksanaan yang memerlukan koordinasi antara kementerian dan juga pemegang taruh lain terdiri daripada pemain industri, dewan perniagaan dan NGO masyarakat. Libat urus mestilah lebih bersifat terbuka dengan keinginan membara, untuk bina semula negara, tanpa menafikan isu kesenjangan antara kaum dan daerah di Malaysia. Oleh kerana kebanyakan hasilnya bukan serta merta, kestabilan kerajaan penting!

Kesimpulannya

Akhir kata, kami ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Perpaduan kerana naratif ini amat didambakan semua pemegang taruh termasuklah komuniti ekonomi Bumiputera. Hala tuju ini memberi ruang semua terlibat dalam rencana pembangunan negara dibawah Kerajaan Perpaduan. Secara keseluruhannya kerangka Ekonomi MADANI dilihat disambut baik oleh komuniti perniagaan domestik dan antarabangsa dalam memberi kejelasan kepada hala tuju ekonomi negara.

Namun demikian ada kemungkinan besar komuniti Bumiputera terutamanya kaum Melayu masih khuatir bahawa segala dasar-dasar ini walaupun kelihatan baik secara asasnya, akan mengakibatkan peminggiran kaum Bumiputera secara sistematik. Oleh itu janganlah malu alah untuk dilihat bantu Bumiputera melalui agenda Bumiputera yang jelas dan mampan. Takut yang dikejar tak dapat dikendong tercicir. Keputusan PRN sudah cukup untuk memberi tanda untuk tindakan segera yang mesti dilakukan serta merta. Ini bukan isu politik kepartian atau ideologi parti tapi isu keadilan sosial yang selari dengan tuntutan Perlembagaan dan sejarah peradaban bangsa yang ingin diperbetulkan dengan berani dan bijaksana selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sekian, terima kasih.

Yang Benar,

Haji Ahmad Yazid bin Othman,
FELO KANAN MTEM

Tarikh: 18 Ogos 2023

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: