KEKALKAN NAFAS SEBAGAI PENGEDAR TUNGGAL BENIH PADI, PERBAIKI PENGEDARAN DAN TUKAR SISTEM KUOTA – PESAWAH
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
Terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa sistem pengedaran benih padi akan diubah sekali lagi. Sejak Disember 2020, kerajaan telah bertindak melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai pengedar benih tunggal dengan harga RM35 untuk satu beg benih. Pengedaran benih dibuat sepenuhnya melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk menghapuskan orang tengah yang mengeksploitasi pasaran. Belum pun sampai musim seterusnya, Bahagian Industri Padi dan Beras, Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (IPB, MAFI) dikatakan akan mengubah semula sistem pengedaran benih ini kepada sistem lama. Iaitu beberapa syarikat berkepentingan termasuk pengeluar benih diberikan lesen untuk menjadi pemborong dan mereka nanti akan melantik agen masing-masing sama seperti sebelum ini.
I. Kami mendapati NAFAS memang ada kelewatan penghantaran benih padi sah memandangkan NAFAS diminta oleh IPB dan MAFI secara add-hock tanpa ada diberi masa yang mencukupi sebagai persediaan bagi NAFAS. Sejak mula lagi kami berpandangan sistem pengedaran NAFAS ini perlu dilaksanakan secara berperingkat bukan secara mengejut. Apapun, hakikatnya adalah pengedaran telah selesai dan NAFAS telah berjaya mengurangkan permasalahan di atas sehingga berakhirnya Musim 1 ini.
II. Melalui penelitian kami, tidak adil disalahkan NAFAS semata-mata atas kelewatan dan isu kualiti benih yang berlaku kerana semua kuota pembekal benih padi dan kelulusan benih adalah ditetapkan oleh IPB dan Jabatan Pertanian. Punca kelewatan adalah daripada pembekal yang diberikan kuota oleh IPB dan kelewatan kelulusan oleh Jabatan Pertanian.
III. Kami mendapat maklumat daripada data yang diberikan oleh PPK-PPK melalui tempahan benih bahawa, sebenarnya kuota biji benih padi sah untuk semusim sebenarnya 28,000 MT sahaja dan bukannya 36,000 MT yang selalunya sebelum ini dibuat tuntutan oleh pengeluar. Maknanya selama ini mungkin ada ketirisan sebanyak 8,000 MT semusim.
IV. Selepas perlantikan 12 syarikat pemborong yang baru untuk menjadi pengedar akan datang. Peranan PPK sebagai agen tidak diperlukan lagi memandangkan syarikat boleh melantik agennya sendiri. Maka, kami bimbang keadaan akan kembali seperti sebelum ini dinama berlaku kegiatan sorok, eksploitasi bekalan dan kenaikan harga oleh kartel-kartel benih padi.
Perlu diingatkan bahawa NAFAS adalah wakil kepada PPK yang mana keahlian NAFAS adalah melalui ahli-ahli berdaftar PPK sekaligus perniagaan NAFAS adalah demi kebaikan petani juga selagimana ia dilaksanakan dengan amanah dan telus. Kami berpandangan NAFAS wajar dikekalkan untuk menyambung tugas sebagai pengedar tunggal benih padi selagimana tidak ada perubahan dalam sistem subsidi benih padi kepada sistem terbuka melalui kupon yang lebih baik, bukan kembali seperti sistem pengedaran lama.
Tn Haji Muhamad Fuad Bin Yaacob
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH)