NGO

BAJET 2022 & RMK-12 PELUANG TERBAIK UNTUK PERUBAHAN RADIKAL – MTEM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Seperti yang kita sedia maklum, dengan perlantikan Perdana Menteri ke-9 serta pembentukan Kabinet yang baru serta penubuhan Majlis Penubuhan Negara (MPN) harapan yang tinggi diletakkan kepada kerajaan pimpinan YAB Dato’ Seri Ismail Sabri. Kita sedang berada di saat yang sangat penting untuk melakukan perubahan dan pembetulan ekonomi negara untuk dekad yang akan datang. Ia menjadi lebih menarik lagi ditambah dengan memorandum persefahaman yang belum pernah terjadi yang telah dimeterai demi menjamin kestabilan politik.  Walaupun ada laporan yang menyatakan bahawa negara akan pulih dengan pertumbuhan ekonomi yang positif, yang akan mengurangkan kesan pandemik pada ekonomi. Hakikatnya, kesan pandemik ini hanya akan dapat kita ukur dan dianalisakan melalui penelitian dalam laporan kekayaan isi rumah, pendapatan isi rumah, kadar pemilikan rumah, nisbah hutang isi rumah dan banyak perkara lagi, pada suku pertama tahun hadapan.

Pada ketika ini kita menjangkakan, Kelompok Ekonomi Bumiputera yang akan paling terkesan teruk kerana pandemik kerana mereka sememangnya berada dalam kumpulan terdedah pada keadaan ekonomi dan garis asas (baseline). Ekonomi mereka juga akan terus menurun. Ini sekali gus menidakkan keberhasilan atau sokongan yang diterima hasil daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan dasar sepertinya yang telah diperolehi sebelum ini. Semua ini dapat dilihat melalui statistik seperti berikut:

• Kadar pengangguran di Malaysia telah meningkat kepada 4.8 peratus pada bulan Jun 2021 yang melibatkan 768.700 orang, suku kedua tahun 2021 dan kadar pengangguran pada bulan Mei 2021 adalah sebanyak 4.5 peratus dengan 728.100 penganggur.

• Bilangan Siswazah Menganggur meningkat 22.5% kepada 202,400 orang pada tahun 2020 berbanding 165,200 pada tahun sebelumnya dengan 70% daripadanya adalah dari graduan Bumiputera.

• Pada tahun 2020 sehingga Julai 2021, sebanyak 155,893 orang kehilangan pekerjaan semasa wabak COVID-19 melibatkan sebanyak 5,959 majikan.

• Pada tahun 2020, jumlah penamatan perniagaan yang melibatkan sektor perdagangan jualan borong, jualan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal ialah sebanyak 10,487 perniagaan manakala sebanyak 5,050 perniagaan dalam sektor ini telah menamatkan perniagaan dalam tempoh 1 Januari 2021 hingga 31 Ogos 2021.

• Keluarga dari kategori miskin tegar meningkat sebanyak 4,815 isi rumah pada tahun 2021 berbanding 1,109 isi rumah pada tahun 2021.

• Keluarga dari kategori miskin juga meningkat daripada 2,200 pada tahun 2020, kepada 5,617 pada tahun ini.

• Bagi yang bekerja: 88.5%-T20 hingga M40 dan 74.2%- M40 hingga B40.

• Untuk yang bekerja sendiri: 22.9% kadar penurunan dari M40 hingga B40.

• Pendapatan per kapita pada tahun 2014 untuk Bumiputera hanya 21.7% (RM16,066 setahun) berbanding dengan pendapatan bukan Bumiputera (RM74,067 setahun).

• Bumiputera hanya memiliki 26.1% aset perumahan di Malaysia sementara bukan Bumiputera memiliki 63.3% walaupun populasi Bumiputera 3 kali lebih besar daripada bukan Bumiputera

• Ekuiti Bumiputera telah menurun kepada 10% hingga 16% dalam masa 3 tahun kebelakang.

• Malaysia mempunyai Nisbah Hutang terhadap KDNK tertinggi di ASEAN dan tempat ke- 2 di Asia.

• Sumbangan fiskal untuk rangsangan ekonomi akibat COVID-19 hanyalah sebanyak 5.2% daripada KDNK yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Thailand yang mempunyai kadar sebanyak 11.4% dan Singapura 18.4%.

Walaupun kita teruja dengan pelbagai perkembangan positif berkaitan isu politik di negara kita, namun kes COVID-19 tetap dalam keadaan yang membimbangkan. Setiap hari kita dapat melihat laporan yang diberikan. Jumlah kematian harian seramai lebih kurang 400 orang. Jumlah kematian harian ini boleh disamakan seperti tiap hari berlakunya nahas pesawat penumpang. Cuma bezanya ia kurang mendapat perhatian media. Ini jelas menunjukkan keadaan yang bakal mendatang amat membimbangkan seluruh isi rumah. Persatuan dan Kumpulan PKS telah banyak menyuarakan isu ini di media arus perdana dan media sosial. Malah telah disuarakan ke pihak kementerian yang bertanggungjawab berkenaan hal dan isu yang dialami PKS hari ini.

Di sebalik keprihatinan yang telah ditunjukkan di media sosial oleh kebanyakan pemimpin, ia tidak dapat menafikan juga bahawa rangsangan atau bantuan ekonomi yang ada kurang berkesan serta tidak mencukupi (PSU,GKP,BPR) walaupun dana yang diberikan berjumlah ratusan bilion, di mana lebih dari 100 bilion diambil dari dana KWSP dan moratorium . Malah GKP 4.0 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini menunjukkan kerajaan sedar dengan hal ini.

Walau apa pun, kita tidak boleh berputus asa dan mesti meneruskan kehidupan. Kita mesti meletakkan harapan dan terus berharap bahawa Kerajaan hari ini yang telah mendapat sokongan daripada KDYMM YDPA dan seterusnya diabsahkan di Parlimen dengan sepenuh kuasanya dapat menumpukan seluruh usaha dan tenaga pada 7 fokus yang amat penting. Ia harus terbahagi kepada 2 jenis tindakan penting iaitu tindakan jangka pendek dan jangka panjang dan ini juga bakal menentukan bukan sahaja apa yang akan berlaku dalam 6 bulan akan datang tetapi juga menentukan apa objektif Belanjawan 2022, mengambil aspirasi RMK-12, termasuk kesinambungan reformasi ekonomi untuk RMK-13 supaya semua selari dengan intipati Wawasan Kemakmuran Bersama 2030:

A. Bantuan Khas & Penyelamat COVID-19 (6-18 bulan)

Ini mesti merangkumi 6 hingga 18 bulan subsidi gaji dan dana pusingan khas untuk PMKS (Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana) dengan pemindahan tunai lebih banyak untuk B20 ditambah dengan strategi percukaian baru.

B. Strategi FDI baru

Terdapat terlalu banyak kebergantungan pada FDI berdasarkan eksport ketika kita harus mempromosikan dan memberi insentif kepada Pelaburan Domestik Langsung. Kita perlu memastikan yang kita mendapat pelaburan asing yang tidak hanya mahukan tenaga kerja murah dari tenaga kerja bukan rakyat Malaysia.

Pelaburan asing baru bukan hanya untuk menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi, tetapi juga membuka peluang besar bagi PMKS, modal insan dan juga sumber-sumber yang lain.

Prasyarat yang terperinci mesti merangkumi pemindahan teknologi sebenar dan mencipta pekerjaan yang bermakna bagi rakyat Malaysia. Malah yang paling penting, Kerajaan mesti menunda dan mengabaikan ratifikasi CPTPP & RCEP dan menumpukan perhatian pada perdagangan dua hala dengan semua ekonomi utama.

Secara logiknya kita memerlukan lebih banyak proteksionisme sebagai sebahagian daripada langkah-langkah dasar selepas COVID-19 dan keduanya mungkin dapat memberi kesan kepada kempen “Buy Malaysia first”.

C. Strategi Upah & Jaminan Pekerjaan

Kerajaan perlu meneliti cadangan Jaminan Pekerjaan dan tidak menangguhkan kenaikan gaji minimum & upah. Sudah tiba waktunya untuk kita menggerakkan kesatuan untuk memastikan rundingan gaji antara pekerja dan majikan lebih bermakna.

Sudah tiba masanya untuk memberi insentif atau menghukum syarikat yang tidak mengikuti nisbah keuntungan korporat dan Gaji Pekerja yang lebih adil.

D. Strategi Percukaian

Kita tidak boleh TIDAK mengenakan Cukai Durian Runtuh bagi Syarikat Perbankan dan Syarikat Industri sarung tangan yang mendapat banyak keuntungan dari wabak ini seperti yang telah dilaksankan sebelum ini kepada Syarikat Perusahaan Kelapa Sawit.

Mengapa tidak memperkenalkan semula GST pada kadar 1% bermula tahun 2022 sebelum menaikkannya pada tahun 2023? Mungkin boleh memperkenalkan Cukai Kekayaan & Cukai Warisan untuk mempromosikan Pelaburan Domestik Langsung.

Kita harus Memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal pada kadar 1% tetapi kurangkan Cukai Korporat untuk PKS untuk tahun 2022. Ini akan membolehkan kita menganalisis dengan lebih baik keperluan Percukaian kita dan siapa yang harus dikenakan cukai pada tahun 2023.

Selain itu cadangan untuk meningkatkan kadar Cukai pendapatan peribadi untuk 5% golongan T-20 terkaya di Malaysia wajar dipertimbangkan.

E. Pekerja Asing

Ini adalah masa terbaik untuk membuat keputusan berkenaan pekera asing, Kerajaan mesti membuat pendirian dasar yang jelas dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam 2 tahun yang merangkumi pemberian pemutihan kepada semua pekerja asing tanpa izin untuk melengkapkan keperluan ekonomi semasa ketika ini.

Kerajaan tidak boleh membawa lebih ramai pekerja asing atau meningkatkan kos levi untuk mengimport pekerja asing di saat dan ketika jutaan rakyat hilang pekerjaan.

F. Dasar Kewangan

Dengan keuntungan sebelum cukai yang mencecah berbilion-bilion ringgit untuk kebanyakan bank Komersil dan pendirian Bank Negara yang enggan untuk berfikir di luar buku teks ekonomi klasik, mungkin sudah waktunya untuk memperkenalkan Perbankan Awam & Perbankan Komuniti yang tidak berlandaskan riba. Amat malang apabila Bank Traditional kita lebih memberi tumpuan untuk memperoleh keuntungan besar ketika krisis ini. Cadangan yang wajar dikaji adalah Perbankan Awam.

Perbankan Awam akan mengambil alih fungsi pemberi hutang daripada Bank Kormersial sekali gus mengawal penghasilan kredit dalam pasaran. Menaiktaraf wang fiat kita menjadi wang berdaulat yang bersandarkan pada komoditi akan menghasilkan kestabilan kewangan.

Malah kita juga harap Kerajaan boleh mempertimbangkan Pelupusan Hutang untuk jumlah faedah yang terkumpul daripada semua pinjaman isi rumah seperti yang dilakukan di negara Jerman pada masa lalu selepas Perang Dunia Kedua.

Mungkin sudah tiba waktunya polisi ini termasuk perubahan dasar Monetari diutamakan untuk mencapai kesan pengganda ekonomi sebenar dan bukan sekadar menjaga institusi kewangan swasta, atau pengikitirafan “rating agency” lebih tinggi dengan mengorbankan rakyat dan kemampuan kita untuk pulih.

G. Polisi Pembangunan Bumiputera yang lebih baik

Sebagaimana yang dicadang Dr Lee Hwok Aun, sudah tiba masa kita memberi perhatian yang lebih luas polisi berasaskan identiti yang merangkumi Bumiputera, Wanita dan sebagainya daripada melayan pihak yang ingin memansuhkan dasar yang berasaskan kaum atau bangsa. Kenapa perlu kita apologetik dan berdebat? Sebaiknya semua perlu menerima dasar yang ada dan bekerja untuk memastikan ia berkesan, dan bukan yang terpengaruh dengan desakan supaya dasar berasaskan keperluan (need based) menggantikan dasar berdasarkan tindakan afirmatif bersasar kepada mana mana kumpulan.(rujukan dari :https://fulcrum.sg/transforming-malaysias-elephant-in-the-room-conflict-consensus-or-cop-out/)

Ketika ini kita sedang bekerjasama erat dengan semua pemegang taruh ekonomi di dalam kerajaan dan masyarakat untuk memastikan beberapa idea ini dapat dipertimbangkan secara serius.

Dalam setiap krisis, peluang juga akan tiba. Kami berharap Kerajaan tidak mensiakan peluang pada masa ini untuk melaksanakan “reset” pada beberapa keadaan ekonomi secara radikal untuk memberi manfaat kepada rakyat termasuk Bumiputera. Kita tidak mampu lagi untuk mengharungi perkara yang sama lagi, menyamar sebagai percubaan baru yang dibenarkan oleh peruntukan belanjawan yang besar dan bukannya hasil, slogan yang indah tetapi dengan kesan yang terhad meninggalkan pembaharuan ekonomi, Jika tidak, tiada yang dapat kita tunjukkan dalam beberapa tahun akan datang di mana orang kaya akan menjadi lebih kaya tetapi golongan yang besar yang lain tetap dalam keadaan yang sama atau lebih teruk dan kedaulatan serta kemerdekaan kita bakal akan dicabar sekiranya ia berlaku.

AHMAD YAZID OTHMAN
FELO KANAN

Pendapat ini adalah pendapat peribadi Felo Kanan MTEM yang disokong MTEM. Penulis merupakan seorang aktivis masyarakat yang juga seorang usahawan teknologi yang berpusat di Kuala Lumpur. Beliau juga merupakan mantan CEO MTEM dan masih sebahagian daripada penyelidik di Dewan Perniagaan Melayu Malaysia. Beliau juga aktif bersama NGO ekonomi dan NGO Melayu Islam.

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

 

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: