Kerap Dilanda Banjir Lumpur, Penduduk Mohon Bantuan Pihak Berwajib
KUALA SELANGOR, 19 Ogos 2023 – Gusar rumah kerap dilanda banjir lumpur, lebih 350 penduduk Kampung Bukit Kapar Tambahan dan Jalan Seri Jaya merayu pihak berwajib hulurkan bantuan.
Menurut penduduk setempat, masalah itu berpunca daripada kerja-kerja pengorekan tanah bukit milik individu persendirian dengan sistem perparitan dan saliran tidak terancang
“Kerja pengorekan di lereng bukit yang dilaksanakan setahun lalu itu didapati tidak mempunyai sistem saliran sistematik. Keadaan itu mengakibatkan limpahan air tidak terkawal sehingga berlakunya banjir lumpur di kawasan rumah dan jalan raya,” kata Shahrul Nahar Sajari, 45.
Katanya, kawasan perumahan dahulunya sering dilanda banjir akan tetapi keadaan semakin teruk dengan adanya kerja pengorekan tanah di kawasan bukit.
BACA JUGA: Proses Pengesahan Mangsa Nahas Pesawat Dijangka Selesai Isnin Ini
BACA JUGA: Rejim Haram Israel Musnahkan Sekolah Palestin Di Ramallah
BACA JUGA: Didakwa Melombong Silika Secara Haram, Pengurus Projek Dihadapkan Ke Mahkamah
“Sudah empat kali kawasan rumah digenangi banjir lumpur jika hujan berterusan.”
“Justeru, saya berharap pihak berwajib menyelesaikan masalah itu termasuk memastikan kerja pengorekan tanah mengikut spesifikasi ditetapkan dan membina sistem saliran atau perparitan yang lebih baik,” ujarnya.
Bagi Ketua Kampung Felda Bukit Cherakah, Khairi Dzulazizi Mohd Yusof, terdapat kira-kira 70 keluarga di Kampung Bukit Kapar Tambahan berdepan risiko banjir lumpur setiap kali hujan.
“Penduduk kerap merungut setiap kali kawasan jalan berhampiran rumah mereka digenangi banjir lumpur. Walaupun rumah tidak dinaiki air, keadaan permukaan jalan rosak teruk dan dipenuhi lumpur melekat hingga mengundang rasa tidak selesa,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, satu pertemuan dengan pihak berwajib dan pemilik tanah perlu diadakan bagi menyelesaikan isu berkenaan.
“Terdapat beberapa pihak yang perlu saya rujuk untuk menyelesaikan masalah ni kerana kawasan terlibat berada di persempadanan daerah dan juga DUN (Dewan Undangan Negeri).”
“Kita berusaha mencari penyelesaian terbaik agar masalah dihadapi penduduk di kawasan ini diatasi segera,” jelas beliau.