NGO

MTEM Mahu Kedaulatan & Keselamatan Wilayah Maritim Nusantara Jadi Agenda Utama ASEAN 2025

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

1. Selepas Laos memimpin ASEAN tahun ini, akan tibalah pula giliran Malaysia mempengerusikan badan induk Asia Tenggara itu pada 2025 nanti. Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini telah mengarahkan jemaah menterinya untuk bersedia lebih awal agar kepengerusian Malaysia benar-benar memberi dampak yang diharapkan.

2. Perbezaan paling ketara kepengerusian Malaysia berbanding sepuluh tahun lalu ialah peningkatan mendadak kapal-kapal China di perairan Laut China Selatan. Tindakan kuasa besar dunia itu yang kerap menceroboh sempadan maritim negara-negara Asia Tenggara khususnya Vietnam, Filipina, Malaysia, Indonesia dan Brunei sudah tidak boleh lagi dibiarkan berleluasa.

3. Laut China Selatan dan Selat Melaka sejak zaman berzaman sememangnya merupakan jalan dagang tersibuk dunia atas fungsinya menyediakan akses pasaran timur dan barat dunia. Ia menghubungkan Asia Utara dan Timur dengan negara-negara teluk dari aspek perdagangan, terutamanya import minyak mentah. Ia juga menghubungkan Amerika dan sekutunya di Timur Laut Asia sebagai laluan pengangkutan dan saluran komunikasi komersial dan ketenteraan.

4. Pada hari ini dagangan bawaan kapal di perairan tersebut dianggarkan bernilai lebih tiga trilion dolar Amerika. Cuma dalam kerancakan Kerajaan Malaysia Madani mempromosi pelaburan domestiknya, kegagalan menangani provokasi China secepat mungkin dikhuatiri akan mengheret Malaysia dan ASEAN ke kancah geopolitik yang lebih parah, dan dengan kesan ekonomi yang buruk. Atas kerisauan tersebut, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mahu Laos dan Malaysia selaku pengerusi ASEAN bagi penggal 2024 dan 2025 menjadikan kedaulatan dan keselamatan maritim ASEAN sebagai agenda utama mereka.

5. Semenjak 2011, boleh dikatakan setiap negara anggota ASEAN pernah mengalami episod pencerobohan kapal-kapal peronda China. Ramai di Malaysia yang tidak tahu rekod pencerobohan kapal-kapal Pengawal Pantai China (CCG) dan Angkatan Laut Tentera Negara China sebanyak 89 kali diantara tahun 2016 hingga 2019. Pencerobohan tersebut kebanyakannya terjadi di wilayah Beting Patinggi Ali, Sarawak yang terletak di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia, dan beberapa wilayah lain.

6. Laporan terkini oleh Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) juga mengesahkan kehadiran kapal pengawal pantai China di Beting Patinggi Ali selama 316 hari untuk tahun 2022, meningkat daripada 279 hari pada tahun sebelumnya.

7. Sebagai contoh, kapal Pengawal Pantai China terbesar dunia yang diberi jolokan “The Monster” (CCG 5302) kerapkali berada di perairan Beting Patinggi Ali sejak beberapa tahun lalu bagi melaksanakan tugas “menghalang” aktiviti minyak dan gas Malaysia. Dengan berat mencecah 12,000 tan, kapal kelas- Zhaotou itu jauh mengatasi saiz kapal pengawal Jepun kelas-Shikishima seberat 9,000 tan, atau kapal pemusnah kelas-Arleigh Burke dan kapal peronda kelas-Ticonderoga Amerika Syarikat masing-masing seberat 7,000 tan dan 9,000 tan. (Sebagai perbandingan, kesemua kapal-kapal LMS milik TLDM seperti KD Keris, KD Sundang, KD Badik dan KD Rencong masing- masing hanya seberat 700 tan sahaja).

8. Berbanding Malaysia yang memilih untuk menghantar tujuh nota bantahan demi menjaga hubungan baiknya dengan China, Vietnam lebih agresif mempertahankan kedaulatan wilayah maritim mereka, terutama sekali di kepulauan Paracel dan Spratly di mana Malaysia, Brunei dan Taiwan juga menuntut hak kedaulatan keatas pulau-pulau tersebut.

9. Bagi Filipina pula, rancangannya untuk menggerudi minyak dan gas asli di Reed Banks, Laut China Selatan seringkali terhalang walaupun jelas ianya terletak dalam kawasan EEZ mereka. Berikutan kejadian kapal Pengawal Pantai China menyekat dan hampir melanggar kapal peronda Filipina pada 2016, kerajaan Filipina telah membawa kes ke tribunal antarabangsa, dan menang.

10. Sesetengah negara ASEAN mengambil keputusan untuk menukar nama Laut China Selatan di wilayah-wilayah yang menjadi rebutan. Sebagai contoh, pada 2017 Indonesia telah menamakan kawasan perairan ZEE di barat daya Laut China Selatan sebagai Laut Natuna Utara. Filipina juga telah menukar nama kawasan perairan barat negara itu sebagai Laut Filipina Barat pada 2011. Vietnam memanggil Laut China Selatan “Laut Timur” tatkala China masih memanggilnya “Laut Selatan”.

11. Tuntutan China keatas wilayah maritim Nusantara banyak disandarkan pada interpretasi sejarah dan pemetaan mereka sendiri yang telah berkali-kali ditolak badan antarabangsa. Peta Standard China Edisi 2023 yang dikeluarkan tahun lalu juga telah dibantah keras oleh semua negara anggota ASEAN, termasuk juga India, Jepun dan Taiwan. Namun demikian, China terus berdegil barangkali didorong oleh keinginan untuk menguasai sumber kekayaan Laut China Selatan, disamping mahu mengukuhkan kedudukan mereka selaku kuasa besar dunia.

12. Laut China Selatan merupakan antara empat pusat pengumpulan minyak dan gas luar pesisir terbesar dunia. Rizab minyak di perairan emas itu dikatakan sebanyak 125 bilion tong, manakala rizab gas aslinya pula dianggarkan pada 500 trilion kaki padu (70 peratus daripadanya berada di wilayah laut dalam). China National Offshore Oil Corporation yang menyedari kepentingan meneroka dan membangun medan minyak laut dalam kini giat menjalankan aktiviti minyak dan gas asli di Laut China Selatan, disamping mendapat perlindungan kapal-kapal peronda Pantai dan Angkatan Laut China.

13. Selain sumber minyak dan gas asli, sumber makanan laut di Laut China Selatan adalah yang kedua terbesar dunia, meliputi 12 peratus daripada jumlah tangkapan ikan dunia. Menguasai sumber makanan penting ini sudah tentu mampu menampung keperluan domestik dan eksport China.

14. Dari aspek prestasi ekonomi pula, jumlah hutang negara China yang telah meningkat empat kali ganda daripada 70 peratus KDNK pada pertengahan 80-an kepada 272 peratus KDNK pada 2022 sudah tentu memberi tekanan kepada pemerintah untuk segera mencari sumber kekayaan baharu.

15. Kita mengakui kepentingan China sebagai sekutu besar Malaysia dengan nilai dagangan hampir mencecah USD200 bilion tahun lalu. Sebagai rakan dagang dan kuasa besar Asia, China seharusnya menunjuk tauladan menghormati kedaulatan Malaysia dan jiran-jiran ASEAN dan bukannya mengambil kesempatan daripada ihsan dan toleransi mereka.

16. Membiarkan China bermaharajalela tidak bererti kita lebih selamat kerana ia bakal membuka ruang kepada adikuasa lain untuk menceroboh atas alasan menjaga kepentingan masing-masing. Dengan prospek kekayaan sumber mineral dan makanan yang begitu banyak, sudah tentu peluang sebegini akan dibiar terlepas begitu Sahaja. Kehadiran aset-aset ketenteraan kuasa-kuasa imperial dari timur dan barat sudah tentu akan mengkucar-kacirkan apa jua inisiatif dagang, bahkan akan menyebabkan kenaikan harga barang dan matawang dan peningkatan kegiatan jenayah laut.

17. Amerika Syarikat yang semakin meluat melihat gelagat China pastinya tidak akan teragak-agak untuk mengaktifkan kembali Freedom of Navigation Programs (FONOPs) sebagaimana yang telah mereka lakukan pada Oktober 2015, sama seperti apa yang sedang mereka lakukan di perairan Laut Merah hari ini. Melalui FONOP, kapal-kapal Tentera Laut Amerika telah meronda kepulauan Spratly dan Paracel yang menjadi pertikaian menggunakan kapal tempur seperti USS Lassen di Pulau Buatan China (Kepulauan Spratly), USS Curtis Wilbur di Pulau Triton (Kepulauan Paracel), dan USS William P. Lawrence di Fiery Cross Reef (Kepulauan Spratly).

18. MTEM mencadangkan agar Kepengerusian Malaysia pada ASEAN 2025 harus memuktamadkan tiga objektif utama berhubung kedaulatan maritim Laut China Selatan. Pertama, mencapai kesepakatan ASEAN dalam menyelesaikan tuntutan bertindih terhadap wilayah yang menjadi pertikaian. Pertikaian yang tidak berkesudahan bukan sahaja merugikan ASEAN kerana seluruh dunia akan turut terkesan.

19. Kedua, memuktamadkan keperluan menyediakan kawalan sempadan maritim bersama. Secara berasingan keupayaan negara anggota ASEAN amat terhad, namun secara kolektif MTEM yakin ASEAN mampu mengimbangi cabaran kuasa-kuasa hegemoni. Jika disandarkan pada kedudukan geopolitk dan sejarahnya, Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk merealisasikan hasrat ini pada 2025 nanti.

20. Ketiga, kesepakatan ASEAN untuk mendesak China menghentikan apa jua bentuk provokasinya keatas wilayah-wilayah yang dipertikaikan atas dasar menghormati hak dan kedaulatan negara tetangga. ASEAN tidak boleh teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas seperti memboikot produk- produk serta perkhidmatan atau merujuk kes ke tribunal antarabangsa sekiranya China terus berdegil.

21. Rumusannya, ASEAN masih merupakan platform terbaik bagi merungkai apa jua isu atau kebimbangan dengan cara kita sendiri atau “The ASEAN Way”. MTEM berharap isu ini dapat dibawa ke peringkat Jemaah Menteri, dan dibincangkan diperingkat ASEAN sepanjang kepengerusian Laos tahun ini sebelum Malaysia mengambil-alih pada 2025 nanti.

Sekian, terima kasih.

AHMAD YAZID BIN OTHMAN
Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: