NGO

Kenyataan Menteri Ekonomi: MTEM Mahu Hala Tuju Bumiputera Diutamakan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

1. Saranan Menteri Ekonomi YB Mohd. Rafizi Ramli agar keseluruhan proses, pendekatan dan falsafah pembangunan ekonomi Bumiputera dikaji semula sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu, memandangkan MTEM sendiri telah mendesak perkara serupa lebih sepuluh tahun lalu yang membawa kepada penubuhan TERAJU.

2. Kami memahami kerisauan masyarakat Bumiputera khususnya terhadap Kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim; apatah lagi apabila agenda pembangunan
ekonomi golongan ini gagal diperincikan samada dalam Bajet 2023 mahupun dalam
dokumen Malaysia Madani.

3. Ditambah buruk pula dengan keculasan agensi-agensi kerajaan untuk berunding dengan para pemegang taruh hal-ehwal sosioekonomi Melayu, tetapi boleh pula memberi ruang seluasnya kepada kumpulan-kumpulan lain. Kerajaan semakin cuak untuk menyebut agenda Bumiputera, barangkali bimbang terpalit sama dengan keghairahan mengaitkan pembangunan ekonomi Bumiputera dengan amalan rasuah yang katanya sedang diperangi habis-habisan.

Agenda Bumiputera Sebagai Memenuhi Matlamat Politik, Bukannya Ekonomi

4. Sejak sekian lama pembangunan Bumiputera dianggap retorik dan belum mampu memberi impak sebagaimana yang diharapkan. Legasi kejayaan DEB (Dasar Ekonomi Baru) gagal diteruskan oleh pelan-pelan pembangunan Bumiputera selepasnya. Kombinasi tekanan politik dalaman daripada kumpulan pemerintah untuk membesar-besarkan kejayaan yang tidak seberapa; serta tekanan politik pembangkang yang konsisten mahu menamatkan dasar pro-afirmatif akhirnya melahirkan program pembangunan Bumiputera pasca-DEB yang cetek, tawar dan pincang.

5. Peruntukan besar saban tahun digunakan untuk melaksanakan jelajah, pesta dan carnival yang menjanjikan markah politik tinggi kepada para pemainnya. Usaha membina infrastruktur atau gagasan besar dengan impak ekonomi berjangka-panjang dipandang sepi. Akibatnya, agenda memperkasa Bumiputera hanya gah di mata, ibarat “menang sorak, kampung tergadai”.

6. Negara tidak seharusnya boleh mendabik dada dengan sekadar beberapa jutawan Melayu, tetapi terlupa menjaga periuk nasi jutaan yang lain yang gajinya masih di bawah paras minima, manakala lebih 90% peniaga Melayu terus terperangkap didalam kategori mikro, tiada upaya untuk berkembang lantaran kapasiti modal yang terhad.

7. MTEM suka untuk menyarankan agar Menteri Ekonomi lebih adil dan menyeluruh dalam membuat keputusan berhubung agenda pembangunan ekonomi Bumiputera, dan tidak terperangkap oleh naratif yang sempit dan berat sebelah.

8. Kami mencadangkan agar perkara berikut diambil kira sebelum keputusan dimuktamadkan:

a. Untuk melihat realiti lebih daripada terlalu bergantung pada nombor dan analisa. Bagaimana keadaan sebenar mereka di bandar dan desa, tahap pendidikan, jenis
pekerjaan, tahap kesihatan fiskal dan fisikal, mental dan spiritual, nilai tabungan dan pelaburan, perlindungan insuran, dan jika mereka dari kalangan peniaga, tahap literasi kewangan serta desakan untuk berniaga.

b. Bantuan selain kewangan yang boleh diberikan bagi menambah nilai, di samping penggunaan teknologi bagi meningkatkan produktiviti. Apa sektor yang ketinggalan yang sedang dikuasai kaum lain yang perlukan lonjakan agar dapat kembali bersaing secara sihat? Buat golongan pekerja yang majoritinya Melayu, bagaimana memastikan mereka ditawarkan gaji bermaruah, serta membanteras amalan diskriminasi dalam sektor swasta tertentu.

c. MTEM mendesak agar Kerajaan ketepikan dahulu perbezaan politik dalam menyusun semula dasar dan polisi Bumiputera. Kita sudah muak dengan pelbagai sesi libat urus, makmal dan kongres bertujuan mencari formula terbaik memajukan Bumiputera, tetapi seringkali terkandas oleh permainan politik sehinggakan setiap kali Kerajaan bertukar maka setiap kali jugalah dasar dan polisi afirmatif Bumiputera dirombak secara total.

9. MTEM yakin sekiranya kerajaan Malaysia Madani benar-benar ikhlas dan menerima hakikat bahawa jurang ekonomi kita sedang parah; dan sekiranya tiada program-program pecutan
khusus buat Bumiputera untuk suatu tempoh, maka Malaysia akan menjadi negara Madani buat golongan terpilih sahaja, tetapi menjadi neraka buat sebilangan besar yang lain.

10. Kita melihat Kerajaan sekarang seperti sudah ada kerangka khusus bagi menangani jurang antara gender, jurang antara miskin bandar dan desa, jurang antara Semenanjung dan Sabah/Sarawak; tetapi masih teraba-raba mencari formula terbaik menangani jurang antara kaum.

11. MTEM mendesak agar Kerajaan memberi tumpuan penuh dan segera terhadap isu Bumiputera dengan memperbaharui mandat Majlis Kemakmuran Bumiputera yang mesti
diwakili oleh pemegang taruh dari setiap cabang kepentingan sosio-politik ekonomi, warisan dan agama.

12. Majlis inilah yang sewajarnya memutuskan dasar dan hala tuju terbaik buat golongan Bumiputera. MTEM berharap agar isi kandungan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 serta Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 tidak terus dibakul-sampahkan, tetapi dimantapkan dan diperhalusi lagi dengan sasaran-sasaran yang lebih tuntas dengan semangat reformasi!

13. Namun jika semuanya perlu semuanya penjenamaan semula atau pembaharuan dalam kerangka MADANI, kita alu alukan kerana sememangnya ada beberapa perlu diteruskan dan yang perlu ditambahbaik yang mesti dilakukan secepat mungkin demi kemakmuran ekonomi Orang Melayu & Bumiputera.

Perihal Masa Depan TERAJU

14. Semenjak ditubuhkan, tidak dinafikan bahawa TERAJU telah banyak membantu usahawan Bumiputera. Namun samada usaha tersebut mencukupi atau sebaliknya; dan samada hasilnya setimpal dengan peruntukan kewangan yang diberikan saban tahun perlu diperhalusi.

15. Realitinya dana RM135 juta yang diperuntukan Kerajaan kepada TERAJU melalui Bajet 2023 baru-baru ini sebenarnya terlalu kecil berbanding tanggungjawab besar mengangkat ekonomi Bumiputera.

16. Kepimpinan semasa TERAJU dilihat memiliki iltizam dan keikhlasan untuk memperkasa Bumiputera apabila meletak sasaran strategik tanpa terlalu berpaksi pada KDNK dan pemilikan ekuiti.

17. MTEM berpendapat jika diberikan mandat berterusan, sedikit masa, dan dengan peruntukan yang munasabah TERAJU mampu mendukung cita-cita Malaysia Madani dengan syarat badan induk ini dapat bekerjasama dengan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan sektor korporat dengan lebih erat lagi, serta diletak di bawah punca kuasa yang lebih inklusif.

18. MTEM mencadangkan TERAJU untuk turut memfokuskan kepada dua kunci utama memacu ekonomi Bumiputera iaitu pembayaran gaji bermaruah dan pembangunan rantaian bekalan yang lebih adil dan saksama dalam semua sektor.

19. Masyarakat ekonomi Bumiputera khusus orang Melayu memerlukan srategi yang diuruskan badan yang mempunyai kuasa dan mandat untuk mencapai matlamat dan sasaa yang jelas.

MTEM menaruh harapan Kerajaan Madani memberi perhatian yang sewajarnya.

Sekian, Terima Kasih.

Ahmad Yazid Othman
Felo Kanan MTEM

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: