Kompaun Pelitup Muka: PDRM U-Turn
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
Saudara Pengarang,
Baru-baru ini, saya terbaca satu artikel di sebuah portal atas talian yang memaklumkan bahawa PDRM akan menghentikan tindakan saman kepada orang ramai yang gagal memakai pelitup muka di khalayak ramai.
Dalam artikel tersebut turut memetik nama Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, Azmi Adam yang menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara sempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya selain negara sudah beralih ke fasa endemik.
Perkara tersebut amat menggembirakan kerana mungkin akan meringankan beban rakyat yang tanpa sengaja tidak mengenakan pelitup muka.
Walau bagaimanapun, selepas beberapa jam rakyat menerima berita tersebut, @PDRMsia telah mengeluarkan satu kenyataan,” Penafian Sebaran Mesej Mendakwa Tiada Saman Akan Dikeluarkan Terhadap Kesalahan Tidak Memakai Pelitup Muka.”
Menurut kenyataan yang ditandatangani oleh Ketua Komunikasi Korporat PDRM tersebut, PDRM masih lagi meneruskan tindakan kompaun jika terdapat mana-mana pihak yang melanggar SOP berkenaan di bawah peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Kenyataan penafian yang dimuat naik di Twitter PDRM itu seolah-olah berlaku salah faham yang boleh menggugat imej Kerajaan terutama PDRM sendiri.
Ia juga menggambarkan tidak wujud perbincangan antara pihak-pihak yang terlibat seperti PDRM, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Justeru, diharap Kerajaan Malaysia bertegas dengan sebarang undang-undang dan peraturan yang hendak dilaksanakan dan tidak berbolak balik sehingga makin menimbulkan rasa sangsi rakyat terhadap Kerajaan yang terkenal dengan keputusan ‘U-Turn‘.
-Aminah Hassan-
Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my