Negeri Sembilan dan Kedah Benar Imarahkan Masjid Sepanjang Ramadan
Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 31 Mac 2021 – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) membenarkan aktiviti mengimarahkan masjid dan surau sepanjang Ramadan ini termasuk solat tarawih dan moreh.
Menurut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd. Zaidi Ramli, menerusi prosedur operasi standard (SOP) aktiviti di masjid dan surau yang dikeluarkan, amalan seperti solat sunat tarawih, jamuan sahur, berbuka, moreh, qiamullail, tadarus, iktikaf serta aktiviti komuniti adalah dibenarkan.
“Aktiviti qiamullail dibenarkan bermula pukul 4 pagi manakala aktiviti bertadarus berkumpulan dibenarkan mengikut SOP. Amalan iktikaf harian dibenarkan sehingga pukul 12 tengah malam namun amalan beriktikaf malam tidak dibenarkan.”
“Program komuniti seperti penyampaian bantuan, sumbangan dan majlis berbuka puasa dibenarkan dengan mematuhi SOP.”
Menurutnya lagi, bagi solat sunat tarawih, bilangan rakaat yang dibenarkan adalah lapan rakaat serta tiga witir atau 10 rakaat serta tiga witir atau 20 rakaat serta tiga witir.
Untuk aktiviti jamuan sahur, berbuka puasa dan moreh pula, jemaah hanya dibenarkan menjamu selera di tempat yang disediakan mengikut penjarakan fizikal manakala bagi moreh hendaklah disediakan dengan cara bungkusan dan diedarkan oleh jawatan kuasa.
Sebarang aktiviti memasak untuk jamuan di masjid atau surau untuk tujuan tersebut adalah tidak dibenarkan.
“Sumbangan atau infak makanan hendaklah disediakan secara bungkusan dan diedarkan oleh jawatan kuasa dengan mematuhi SOP.”
Waktu operasi masjid atau surau di seluruh Negeri Sembilan sepanjang Ramadan dibenarkan bermula pada pukul 4 pagi sehingga pukul 12.00 tengah malam.
Di Kedah pula, solat tarawih selepas solat Isyak dibenarkan mengikut kapasiti keseluruhan masjid dan surau dengan mematuhi protokol kesihatan dan penjarakan fizikal minimum satu meter.
Itu termasuk program tadarus al-Quran juga dengan SOP sama.
Ujar Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Mohd. Yusri Md. Daud, “Program qiamullail di masjid dan surau pula dibenarkan dengan aktiviti terhad kepada ibadah solat sunat, membaca al-Quran dan zikir sahaja.”
“Tidur di masjid dan surau tidak dibenarkan.”
Tambahnya lagi, jamuan berbuka puasa, moreh dan sahur adalah dibenarkan selagimana syarat SOP dipatuhi.
“Jamuan hanya dibenarkan dalam bentuk bufet sahaja serta dihidangkan di ruangan khas jamuan dengan mengamalkan SOP ketat. Namun begitu, makanan yang siap dibungkus amat digalakkan,” kata Mohd. Yusri mengakhiri kenyataan.