Tempatan

KKM Cadang Tawar Kontrak 5 Tahun Lagi Buat Pesara Doktor Pakar

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 14 Oktober 2022 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang untuk menawarkan lanjutan kontrak selama lima tahun buat doktor-doktor pakar yang telah bersara, ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, cadangan tersebut dibuat kerana perkhidmatan doktor pakar masih diperlukan untuk berkongsi serta menyumbang ilmu kepakaran kepada pegawai dan penuntut bidang perubatan.

“Bila kita ada kepakaran bertambah kepakaran, kita nak penyampaian kepakaran kita bukan setakat hanya di hospital negeri, tetapi juga di hospital-hospital daerah. Sekarang ini kebanyakan hospital daerah tidak ada kepakaran ataupun pakar di situ,” tegas beliau.

Tambah Dr Noor Hisham, sekiranya wujud pakar yang berpengalaman, mereka boleh menjadi tenaga pengajar kepada pakar dan pegawai perubatan yang lain.

Bukan itu sahaja, kebiasaannya sebahagian doktor pakar yang sudah bersara akan meneruskan khidmat di hospital kerajaan mengikut sesi iaitu selama 10 jam seminggu.

Oleh sebab itu, beliau berpendapat, lebih baik pesara doktor pakar berkenaan ditawarkan lanjutan kontrak, pada masa yang sama mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan kepakaran kepada rakyat.

Walaupun perkara ini masih di peringkat cadangan, pihaknya telah berbincang untuk bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sekali gus berharap agar cadangan itu dipertimbangkan dan mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Terkini, terdapat lebih 6,000 doktor pakar di hospital seluruh negara dengan 150 hingga 200 orang yang akan bersara pada setiap tahun.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: