Tempatan

Tubuh Jawatankuasa Siasat Kartel Telur – CAP

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini. 

GEORGETOWN, 09 Disember 2022 – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan wujudnya kartel telur ayam yang memanipulasi harga.

“Ada pihak mendakwa kartel wujud dan mereka mendakwa kartel ini yang menyembelih ayam sebelum bertelur untuk memanipulasi harga.”

“Dakwaan ini perlu segera disiasat, oleh itu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan disaran menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat perkara ini,” ujar Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader baru-baru ini.

Beliau mengatakan bahawa dakwaan tersebut menjadi punca bekalan ayam segar dan telur berkurangan di pasaran. Ia dipandang serius kerana dikemukakan oleh individu yang terlibat dengan industri makanan.

Mohideen juga berpendapat, langkah mengimport telur ayam yang dicadangkan Kerajaan adalah langkah baik untuk mengimbangi bekalan telur, namun hanya untuk jangka masa pendek.

“Apa akan jadi sekiranya negara luar tidak mahu menjual telur ayam kepada negara ini, sudah pasti masalah kekurangan bekalan telur akan terus membelenggu rakyat,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada bekalan makanan dari luar negara sebaliknya perlu berdikari untuk menjadi negara pengeluar makanan memandangkan negara ini mempunyai sumber dan tanah yang berpotensi untuk diterokai.

“Masih belum terlambat untuk Malaysia menjadi negara pengeluar makanan dan Kerajaan Pusat perlu betulkan semula dasar-dasar negara ini yang berkaitan pertanian serta keselamatan makanan.”

Mutakhir ini, masalah ketiadaan bekalan telur ayam dan ayam segar terus meresahkan rakyat hingga mencetuskan kebimbangan sekiranya terpaksa berhadapan dengan krisis makanan.

Samudera.my turut melaporkan bahawa situasi terputus bekalan telur ayam telah memaksa para peniaga menggunakan telur premium sekali gus menyebabkan kenaikan harga makanan tertentu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: