Tempatan

Mahkamah Persekutuan: Kerajaan Gagal, Komik ‘Superman Hew’ Menang

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini. 

PUTRAJAYA, 09 Disember 2022 – Kerajaan gagal pertahan pengharaman ke atas komik ‘komunis’ oleh Bekas Tokoh DAP, “Superman” Hew Kuan Yew mengenai inisiatif Jalur dan Laluan China.

Lapor sebuah berita tempatan, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Nallini Pathmanathan hari ini menolak untuk membenarkan pihak Kerajaan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan yang membatalkan larangan tersebut.

Menurut Nallini yang bersidang bersama Hakim Zabariah Yusof dan Rhodzariah Bujang menerusi prosiding dalam talian berkata, pihak mahkamah mendapati tiada isu baharu yang menjadi kepentingan awam dalam soalan yang dikemukakan oleh pihak Kerajaan.

Pihak Kerajaan telah mengemukakan empat soalan undang-undang yang dikatakan memerlukan rayuan di hadapan mahkamah tertinggi.

Salah satunya ialah sama ada dapatan Menteri Dalam Negeri bahawa buku tersebut boleh membawa ketidakharmonian dan mencetuskan ketegangan kaum sebagai kayu ukur yang betul bagi menentukan sama ada penerbitan buku berkenaan akan memudaratkan ketenteraman awam.

Buku dengan judul “Belt and Road Initiative for Win-Winism” itu telah diterbitkan pada tahun 2019 dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan juga Cina.

Ia didakwa telah memaparkan China dalam sudut yang positif serta dalam gambaran inisiatif “Belt and Road” manakala dunia Barat dikisahkan dalam sudut negatif.

Pada Oktober 2019, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan buku tersebut di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dengan mendakwa kandungannya boleh memudaratkan ketenteraman awam.

April tahun lalu, pihak Mahkamah Tinggi mengekalkan larangan tersebut dan memberi hak kepada KDN untuk menyimpan salinan buku yang dirampas selepas larangan terbabit.

Namun, pada Jun tahun ini, Mahkamah Rayuan telah membatalkan larangan berkenaan dan mengarahkan pihak KDN untuk memulangkan semula semua salinan buku tersebut.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: