Populasi Muslim Seluruh Dunia Dijangka Cecah 2.01 Bilion Tahun Ini
NEW YORK, 27 April 2023 – Populasi orang Islam seluruh dunia dijangka mencecah 2.01 bilion orang pada tahun ini, menjadikan Islam sebagai agama kedua terbesar selepas Kristian.
Menurut data keluaran Timesprayer.com, populasi umat Islam mewakili lebih 25% daripada penduduk dunia seramai 8,030,251,481 orang manakala perkembangan Islam juga dipercayai lebih cepat berbanding agama lain.
BACA JUGA: Kemarau Sukarkan Pembekalan Air Bersih Di Kelantan Menjelang Raya
BACA JUGA: Iran Bersedia Hancurkan Tel-Aviv Jika ‘Diundang’ Rejim Zionis
BACA JUGA: 3 Juta Kenderaan Dijangka Banjiri Pulau Pinang Raya Ini
Dalam pada itu, Islam adalah sebahagian daripada agama rasmi di 26 negara di Asia, Timur Tengah, Afrika dan Afrika sub-Sahara.
Umat Islam kini wujud di setiap rantau seluruh dunia namun mereka banyak tertumpu di rantau Asia-Pasifik termasuk Indonesia, Pakistan, India dan Bangladesh.
Selain rantau berkenaan, terdapat populasi Muslim yang ketara di Timur Tengah, Afrika Utara dan Afrika sub-Sahara.
Sementara itu, di benua Eropah dan Amerika Utara juga, masyarakat Islam didapati semakin berkembang, khususnya di kawasan bandar.
Mengulas lanjut, kenyataan itu turut menyebut bahawa umat Islam terus menerus memberikan sumbangan besar kepada komuniti mereka dan kepada dunia amnya meskipun berhadapan pelbagai cabaran.
Hingga kini, data menunjukkan Indonesia di kedudukan tertinggi bilangan penduduk Muslim iaitu seramai 241,045,668 orang manakala Malaysia menduduki tangga ke-21 dengan bilangan penduduk Muslim seramai 22,628,204.