Tempatan

Kuasa Membeli Di Tangan Pengguna, Pengguna Islam Perlu Cakna Status Halal

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

GEORGE TOWN, 20 Ogos 2022 – Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) , Mohideen Abdul Kader menasihati orang ramai terutamanya pengguna Islam supaya lebih cakna status halal sesuatu makanan sebelum membuat pembelian.

Katanya, kuasa membeli adalah di tangan pengguna oleh itu pengguna Islam perlulah lebih berhati-hati ketika membeli makanan di premis makanan yang diragui status halalnya.

Dalam pada itu, Mohideen juga menyarankan pengguna Islam mengelak daripada membeli makanan dari premis yang tidak mempamerkan sijil halal yang sah daripada pihak berkuasa.

“Soal makanan sememangnya adalah pilihan pengguna, namun bagi pengguna Islam mereka perlu mencari makanan yang halal kerana apa yang dimakan akan menjadi darah daging.”

Tidak bersifat berat sebelah, Mohideen turut mengingatkan pemilik premis makanan agar lebih bertanggungjawab dengan memastikan makanan yang dijual kepada pengguna adalah halal dan bersih.

Dalam masa yang sama, Pengerusi Keilmuan Nasional Pulau Pinang, Azdy Mohd. Arshad menggesa pihak berkuasa agama mencari mekanisma yang terbaik dan pendekatan yang berkesan dalam menangani isu makanan halal supaya mereka yang bersalah tidak terlepas daripada hukuman.

“Pihak berkuasa agama juga perlu memastikan mereka yang tidak bersalah tidak dibebani dengan syarat ketat atau cadangan baharu yang menyusahkan peniaga daripada pihak kerajaan.”

“Kita tidak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Kerana orang lain buat salah, peniaga-peniaga lain turut terkena tempias atau terkesan.”

Jelasnya, pesalah yang melakukan penipuan atas nama agama atau memanipulasi agama dalam perniagaan perlu dikenakan tindakan tegas serta hukuman setimpal.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan peniaga Muslim di Sungai Ara yang mengambil bekalan nasi ayam dan nasi itik di kedai peniaga bukan Islam.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) kemudian mengesahkan kedua-dua premis di Sungai Ara dan di Persiaran Gurney itu tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: