Terpaksa Guna Telur Premium, Roti Canai Telur Naik Harga
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KEDAH, 07 Disember 2022 – Harga roti canai telur dilaporkan terpaksa dinaikkan ekoran para peniaga menggunakan telur premium bagi meneruskan perniagaan mereka apabila menghadapi situasi terputus bekalan telur ayam.
Kenaikan harga yang bermula sejak dua minggu lalu itu meningkat kepada RM3.20 sekeping daripada harga sebelumnya iaitu RM2.50 sekeping, dengan peningkatan sebanyak 70 sen bagi sekeping roti canai telur.
Menurut perkongsian beberapa peniaga di Kedah, kenaikan harga roti canai telur tidak dapat dielakkan susulan kini terpaksa membeli telur gred B dengan harga RM19 sepapan berbanding RM13.40 sepapan sebelum ini.
Seorang lagi peniaga yang menghadapi situasi yang sama berkata, setakat ini beliau juga sudah lima kali menaikkan harga roti canai telur disebabkan kesukaran mendapatkan telur, di mana harga roti canai telur sebelum ini adalah RM2.20 sebelum dinaikkan harga antara 10 sen hingga 30 sen sekeping.
Beliau turut memaklumkan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan telur sehingga terpaksa pergi awal ke pasar raya atau kedai untuk mengelak kehabisan stok telur.
“Penat juga nak cari bekalan telur hinggakan saya terpaksa pergi ke daerah lain termasuk Pendang semata-mata untuk mencari telur.”
Kenaikan harga tersebut juga menyebabkan pelanggan merungut, tetapi beliau tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan masalah ini melainkan terpaksa menggunakan telur premium yang lebih mahal sehingga mencecah RM12 untuk 10 biji, jelas beliau.
Selain itu, kekurangan bekalan telur juga memberi kesan kepada penghasilan roti canai telur yang menjadi semakin berkurangan.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff memamklumkan, beliau menerima banyak rungutan daripada pengguna terutama peniaga kedai makan berkaitan bekalan telur yang berkurangan di semua daerah di negeri itu.
“Semalam saya terbaca laporan berita bahawa kerajaan akan membuat pengumuman untuk menurunkan harga telur tetapi sekarang yang penting adalah bekalan telur kerana harganya setakat ini tiada masalah.”
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu akan mengumumkan harga telur ayam yang lebih murah esok (6 Disember 2022).
Walau bagaimanapun, setakat ini Ahli Parlimen Kota Raja itu tidak mengumumkan harga telur baharu seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.