Kekurangan Ayam Dan Telur Merunsingkan Warga Felda
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA KRAU, 13 Februari 2022 – “Isu kekurangan ayam dan telur di pasaran cukup merunsingkan pengguna terutama penduduk luar bandar dan golongan berpendapatan rendah,” ujar Pengerusi Biro Sosial Ketua-Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Razak Daud.
Beliau memaklumkan bahawa selaku pemimpin kecil di tanah rancangan itu, beliau ‘turut lemas’ dengan pertanyaan anak buah serta warga peneroka berkaitan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
BACA: Syarikat Bumiputera Mengaku Salah Tuduhan Bekal Minyak Masak Berlebihan
BACA: Naikkan Harga Atau Tiga Juta Telur Tiada Ramadhan Ini – Lee Yoon Yeau
BACA: Harga Barang Dijangka Naik Selepas Tahun Baru Cina – DPMM
Razak Daud menegaskan, isu minyak masak subsidi, harga ayam dan telur, barangan keperluan harian termasuk kenaikan mendadak baja dan racun serta lain-lain perlu segera ditangani oleh kerajaan.
“Kerajaan melalui kementerian berkaitan perlu mencari punca kenaikan harga barangan yang terlalu cepat dan perlu segera mengatasinya demi rakyat. Elakkan berpolitiking,” tambah beliau lagi.
Bercerita lanjut, Razak berkongsi keadaan seorang peniaga roti canai warisan, Pak Din Wahi Nordin yang berusia 43 dan berasal dari Jerantut mengakui bahawa beliau sudah terputus bekalan telur selama dua hari ekoran stok di pasar raya sudah habis.
Menurut Rohani Mahat, Pengerusi Gabungan Peniaga dan Penjaja Melayu Malaysia (GAPEMA) pula, beliau berharap agar pihak kementerian menggunakan kuasa mereka bagi mengawal kenaikan harga barangan yang kelihatan sudah tidak terkawal.
“Kenaikan harga barangan yang di luar amalan biasa turut meresahkan peniaga kecil Melayu kerana margin keuntungan rendah dan ini disebabkan peniaga tidak sanggup menjual produk lebih tinggi kerana mengetahui kemampuan pendapatan pengguna yang tidak berubah,” jelas beliau.