Tempatan

‘Ummi’ Ditahan, Aktifkan Kembali Ajaran Sesat Di Negeri Sembilan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SEREMBAN, 28 Februari 2023 – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) semalam menahan ‘Ummi’, seorang pengasas ajaran sesat yang kembali aktif bersama 17 pengikutnya di Johol, Kuala Pilah.

Menurut portal tempatan, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, ketika serbuan pada pukul 9.30 pagi itu, pengasas ajaran tersebut seorang wanita berusia 60 tahun sedang menyampaikan kuliah kepada pengikutnya yang kesemuanya adalah wanita.

BACA JUGA: Turkiye Sekali Lagi Dilanda Gempa Bumi

BACA JUGA: Cetak 2 Juta Quran ‘Berbaloi’, Dakwah Kepada Pengkritik Islam

BACA JUGA: PM Minta Beri Masa Untuk Naikkan Gaji Penjawat Awam

“JHEAINS telah melakukan pemeriksaan selepas menerima aduan berkaitan kesalahan berkaitan ajaran meragukan dan mengajar agama tanpa tauliah oleh kumpulan ini,” ujarnya di Pejabat Penguatkuasa JHEAINS.

“Pengasas ajaran itu yang digelar ‘Ummi’ telah ditahan bersama 17 pengikutnya yang kesemuanya berusia antara 20 hingga 60-an.”

Kata Ahmad Zaki lagi, “Sebelum ini, pengasasnya yang merupakan bekas pensyarah sebuah universiti awam telah dipanggil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan membuat perisytiharan taubat (mengaku kesalahan) pada Februari 2021.”

Bagaimanapun, kita mendapati ajaran ini masih diteruskan oleh pengikutnya di rumah pengasas di Johol, Kuala Pilah selain bergerak dalam kumpulan kecil.”

Tambahnya, ajaran itu yang mempunyai ramai pengikut di seluruh negara dalam proses mengembangkan ajarannya ke Indonesia berdasarkan penemuan dokumen memorandum persefahaman antara sekolah pondok negara tersebut.

“Pengikut ajaran Asmaul Husna ini kebanyakannya terdiri daripada golongan suri rumah dan tinggal di luar Negeri Sembilan. Berdasarkan risikan, pengikut kanan ajaran ini merekrut pengikutnya melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram,” kata Ahmad Zaki.

Kesemua suspek akan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan dan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah 1992 dan Seksyen 53 enakmen yang sama.

Ajaran ‘Kumpulan Zikir Asmaul Husna’ ini pernah difatwakan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan (JMKNNS).

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: