Ekstremis Agama: Polis Johor Mohon Maklumat Dari Keluarga & Jiran Tetangga
JOHOR BAHRU, 27 Mei 2024 – Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar memohon kerjasama masyarakat khususnya jiran tetangga bagi memberi maklumat dan melaporkan kegiatan mencurigakan membabitkan isu ekstremis agama dan kumpulan ajaran sesat di negeri itu.
Menurut laporan, beliau berkata, Cawangan Khas Polis Johor sentiasa memantau golongan tersebut namun ciri-ciri mereka yang terlibat secara langsung tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
“Kita tidak dapat menilai ideologi seseorang itu menerusi pandangan mata kasar.”
“Sehubungan itu, maklumat awal daripada keluarga terdekat dan jiran tetangga ini adalah sangat penting dalam membuat pencegahan awal, berhubung perubahan sikap, tingkah laku dan aktiviti harian.”
Tambah beliau semasa berucap pada Majlis Perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini, pihak Cawangan Khas akan sentiasa komited dalam memastikan kegiatan ekstremis agama dan kumpulan sesat ini menjadi keutamaan bagi menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam dalam negara khususnya di negeri Darul Takzim itu.